Friday, May 5, 2017

Mencintai Satu Nama 6


BAB 6

DAHLIA menghempaskan tubuhnya di atas kerusi. Kemudian, dia menyandar sebelum memejamkan kelopak matanya sekejap.
Hari ini penat sangat. Kelam-kabut Dahlia dan Encik Zaf buat kerja. Dah macam lipas kudung pun iya juga. Ke situ, ke sini, sampai tak sempat nak makan tengah hari.
“Dahlia…”
Kelopak mata yang baru dipejamnya beberapa saat kembali dibuka setelah mendengar sepatan namanya diseru. Duduk dibetulkan sebaik sahaja kelibat Encik Zaf muncul di hadapan mata.
‘Eh, bukan dia kat bawah ke tadi? Cepat benar dah naik ke atas ni? Sampai tak sempat aku nak sandar tubuh sekejap,’ gumam Dahlia di dalam hati.
Zafiy mengukirkan senyuman apabila melihat wajah kepenatan Dahlia. “Penat ke? Maaflah, saya terpaksa menyusahkan awak hari ni dan mungkin petang nanti juga.”
“Maksud Encik Zaf?”
“Petang nanti kita balik lambat sikit, ya? Saya nak minta tolong awak siapkan fail untuk projek yang perlu dibentangkan esok. Saya pula nak siapkan slide presentation. Boleh tak?”
“Hah? Err…” Dahlia menggaru kepala perlahan. Kalau balik lambat sebab kerja, Dahlia memang tak kisah. Tapi yang Dahlia kisah adalah train. Bimbang terlepas train.
“Boleh tak?” tanya Zafiy mahukan kepastian.
Serba salah Dahlia memandang wajah di hadapannya. Dahlia tahu, Encik Zaf juga kesiankan Dahlia. Cuma Encik Zaf sendiri seperti tidak terkejar dengan kerja yang dibebankan di atas bahunya seorang. Kalau Dahlia tolong, mungkin akan ringan sikit kerja Encik Zaf.
“Boleh. Tapi tak boleh lambat sangat. Nanti tak ada train.”
“Tak apa. Nanti saya hantar awak balik. Tak perlu naik train. Saya tak nak membahayakan awak pula.”
Dahlia sengih. Wah, dia nak hantar akulah! Dah lama aku tunggu peluang macam ni. Harap-harap dia betul-betul nak hantar aku. “Baiklah, Encik Zaf.”
Amboi, bukan main laju lagi bersetuju ya, Dahlia?!
Tak mengapalah. Dahlia memang ikhlas nak tolong Encik Zaf. Lagipun itu memang kerja yang sepatutnya Dahlia buat. Cuma masa sahaja yang tidak mengizinkan.
“Minit mesyuarat yang lepas settlekan hari ini juga, ya? Sempatlah kut saya semak nanti.”
“Saya dah buat minit mesyuarat tu. Cuma ada sedikit lagi yang perlu ditambah. Dah siap nanti saya bagi Encik Zaf semak.”
“Okeylah kalau macam tu. Kalau ada apa-apa yang tak faham pasal fail projek tu terus interkom saya. Tak pun masuk saja ke bilik saya. Tapi kalau orang lain nak jumpa, saya tak nak. Jangan benarkan sesiapa ganggu saya hari ni.”
“Baiklah, Encik Zaf.”
Thanks, Dahlia.”
“Sama-sama,” jawab Dahlia sambil memandang kelibat bosnya sehingga masuk ke bilik. Kadang-kadang, Dahlia geram juga dengan sikap Dato’ Azman tu. Suka sangat lepas tangan. Lepas tu serahkan bulat-bulat kepada Encik Zafiy atau Encik Najman.
Kalau bagitahu awal-awal tak apalah juga. Ini, last minute macam ni baru nak serahkan semuanya. Banyak pula tu yang tertangguh. Memang patut pun kalau Encik Najman selalu mengelak apabila kena handle projek dengan papa mereka.
Haih, kalau macam ni selalu, agak-agak berapa lama Dahlia akan bertahan untuk bekerja di syarikat ini?
Sabarlah, Dahlia!



MALAM itu mereka pulang memang lewat. Pukul sepuluh malam pun masih lagi di pejabat menyiapkan kerja yang patut diselesaikan pada hari ini juga.
Selesai tugasannya, Dahlia meminta diri untuk pulang. Namun, Encik Zaf tidak membenarkan pula. Lagipun, Encik Zaf sudah berjanji untuk menghantar Dahlia pulang sampai ke rumah.
Sudahnya, Dahlia pula yang dilanda kebosanan. Nak menolong, Encik Zaf dah tak bagi. Lagipun yang tinggal cuma kerja Encik Zaf sahaja. Jadi, dia memang perlu siapkan sendiri.
“Tak payah tolong apa-apa lagi. Kerja awak dah settle. Cuma kerja saya yang belum. Sekarang awak tolong temankan saya buat kerja. Itu saja.”
Takut berada di mejanya seorang diri, Dahlia menyibuk di dalam bilik Encik Zaf. Sudah bermacam-macam majalah dibeleknya. Mujurlah ada sebuah novel di atas almari itu. Bolehlah juga Dahlia menghilangkan rasa bosan.
Dalam diam, Dahlia mengambil kesempatan untuk merenung seraut wajah bosnya. Bukan senang nak dapat kesempatan macam ni. Jadi, kenalah guna peluang yang ada dengan sebaik-baiknya.
Kacak sungguh Encik Zaf ni! Patutlah ramai staf yang berkenan. Tapi Encik Zaf saja yang tak suka melayan. Sama juga dengan Encik Najman.
Senyuman kecil meniti ulas bibir Dahlia. Kadang-kadang, Dahlia pun rasa macam terjatuh suka tanpa sengaja dengan kebaikan demi kebaikan yang Encik Zaf hulurkan. Ya, Encik Zaf memang terlalu baik orangnya.
Tapi Dahlia tahu, semua itu mustahil untuk Dahlia. Dahlia tidak akan pernah meletakkan cintanya untuk Encik Zaf. Dan Dahlia tidak boleh mencintai Encik Zaf.
Kenapa?
Kerana setiap kali hati Dahlia menyebut perkataan ‘suka’ untuk Encik Zaf, sudah pasti akan hadir dua wajah lain yang akan datang menghalang.
Wajah Kak Min, dan juga wajah Encik Najman.
Kak Jasmin tak apalah lagi. Tapi kalau wajah Encik Najman yang muncul, memang terus meremang bulu roma Dahlia. Asyik muka tegang dia saja yang muncul depan mata. Mana tak seramnya?
“Kenapa pandang saya macam tu, Dahlia?” tanya Zafiy tanpa mengangkat wajahnya yang tekun menyiapkan kerja.
Tersentak Dahlia dibuatnya. Padahal, Encik Zaf tak angkat muka pun. Macam mana pula dia tahu Dahlia sedang memandangnya?
Err…” Tergagap-gagap Dahlia mahu menjawab. Sudahnya, dia mengalihkan pandangan matanya. Alamak, terkantoi pula!
Beberapa minit kemudian, anak mata Dahlia kembali menatap wajah Encik Zaf setelah Encik Zaf ralit dengan kerjanya.
Sungguh, Dahlia rasa tidak puas jika memandang wajah itu sekejap sahaja. Rasa macam nak pandang banyak kali. Bukannya ada yang menarik sangat di wajah itu. Cuma, ada ketenangan di sebalik wajah yang selalu menyembunyikan perasaan sedihnya.
“Dahlia… tolong jangan renung-renung saya macam tu lagi. Saya tengah buat kerja ni. Nanti lagi lambat kerja saya siap.”
Berkerut dahi Dahlia sekejap. Encik Zaf bercakap. Tetapi lelaki itu langsung tidak memandang Dahlia.
Lambat-lambat, senyuman kecil terukir di bibir Dahlia. Namun, dia langsung tidak mempedulikan kata-kata Encik Zaf. Anak matanya masih lagi tidak berganjak. Bukan salah Dahlia pun. Anak mata Dahlia ni yang degil dan tidak mahu berganjak.
‘Abang Zaf… Dahlia suka sangat tengok Abang Zaf. Kali pertama Dahlia tengok Abang Zaf pun, Dahlia dah tahu yang Abang Zaf ni baik orangnya. Dan bila dah kenal abang Zaf, Dahlia percaya Abang Zaf memang seorang yang baik budi pekertinya.’
Ingin sekali kata-kata itu diluahkan kepada lelaki ini. Tetapi Dahlia tahu, semua itu adalah perkara yang mustahil.
“Encik Zaf…” panggil Dahlia perlahan.
Hmm?” Sepatah soalannya. Masih lagi tidak menoleh ke arah Dahlia.
“Encik Zaf ni baik sangat. Kalau saya ada abang, saya nak abang saya tu macam Encik Zaf. Baik hati, penyayang, dan semua yang baik-baik ada pada Encik Zaf,” puji Dahlia ikhlas.
“Mana awak tahu saya ni penyayang?”
“Tengok cara Encik Zaf layan Encik Najman pun saya dah tahu. Encik Zaf sayang sangat dekat Encik Najman, kan? Apa pun yang Encik Najman buat, Encik Zaf mesti ambil berat tentang dia. Mesti Encik Zaf akan menyebelahi dia.”
Kali ini Encik Zaf mengangkat wajah. Anak matanya memandang Dahlia sepintas lalu. Selepas itu, satu senyuman kecil dihulurkan kepada Dahlia.
“Saya ni anak sulung, Dahlia. Kalau bukan saya yang sayangkan adik-adik saya, siapa lagi yang nak sayangkan mereka, kan?”
Dahlia mengangguk perlahan. Abang Zaf sama macam Kak Min. Terlalu sayangkan adik-adiknya.
“Kakak saya pun macam tu, Encik Zaf. Dia sayangkan keluarga dia lebih dari segalanya. Selepas ayah saya meninggal, dialah kakak, dialah ayah. Kadang-kadang saya kesian juga tengok dia. Terlalu banyak berkorban untuk keluarga.”
“Jadi, kakak awak yang itulah selalu masakkan bekal untuk awak?”
Hmm. Dia masak sedap. Semua masakan kampung dia pandai. Masakan western pun dia boleh masak. Yang paling saya suka kalau dia buat stick. Fuh, sampai menjilat jari! Memang tak ada orang pun boleh lawan stick yang kakak saya masak.”
Zafiy mengukirkan senyuman kecil.
“Encik Zaf…” panggil Dahlia perlahan.
Kali ini Encik Zaf memandang sepasang anak mata Dahlia sekali lagi. Keningnya dijungkit sebelum sepatah soalan diutarakan. “Hmm?”
Err… kalau saya tanya sesuatu, Encik Zaf akan marah tak?”
“Bukan tadi dah tanya sebelum minta izin ke?”
Dahlia menyeringai sekejap. Amboi, Encik Zaf pun dah pandai perli-perli macam Encik Najman? Mamat tu lagi? Kenapalah aku suka sangat bandingkan dua beradik ni?
“Tak, bukan pasal tadi. Tapi saya nak tanya satu soalan peribadi.”
“Tak boleh,” jawab Zafiy dengan nada tegas.
“Ala, bolehlah Encik Zaf. Saya bukan apa. Sebenarnya, semalam saya ternampak gambar seseorang yang…” Patah kata Dahlia terhenti di situ. Ops, terlepas cakap pula!
Lelaki itu terus menghentikan pergerakan jari-jemarinya di atas dada keyboard. Kemudian, kepalanya diangkat sebelum pandangan mata mereka bersabung untuk seketika.
Dahlia meneguk liur perlahan. Tiba-tiba sahaja rasa macam kecut perut.
“Kenapa berhenti? Teruskan dengan ayat awak tadi.” Setelah beberapa minit berlalu, lelaki itu bersuara juga. Namun, saat ini ada getar pada nada suaranya.
Err… tak apalah. Lain kali sajalah saya tanya.” Serba salah Dahlia dibuatnya. Bukannya Dahlia tidak nampak air muka Encik Zaf yang tiba-tiba sahaja berubah.
“Awak nampak gambar yang dalam laci meja saya, kan?” tanya Zafiy lagi.
Soalan itu dijawab dengan anggukkan kecil. Semalam Encik Zaf ada meminta Dahlia mengambil kunci kereta di dalam laci meja kerjanya. Dahlia pula tidak tahu di laci yang mana satu. Sudahnya, Dahlia terbuka laci yang tersimpan gambar seseorang. Tak sengaja, tau?
“Maaf, Encik Zaf. Tapi saya tak sengaja. Saya tak tahulah pula yang laci tu tersimpan barang-barang ‘secret’ milik Encik Zaf.  Dia… tunang Encik Zaf?” tanya Dahlia ingin tahu.
Apa yang Dahlia nampak semalam adalah gambar seorang perempuan yang seolah-oleh sedang memakai baju pertunangan atau baju perkahwinan. Nak kata gambar kahwin, Encik Zaf di sebelah cuma pakai baju kemeja biasa. Mungkin gambar pertunangan mereka.
Dahlia masih lagi menanti reaksi lelaki di hadapannya ini. Namun, Encik Zaf hanya diam sahaja.
Sebentar kemudian, Zafiy terus menekan ikon save untuk semua kerjanya. Meja kerjanya dikemaskan sebelum suis komputer ditutup. “Jomlah. Saya hantar awak balik, ya? Dah lewat sangat ni.”
Patah kata itu kedengaran mendatar. Dahlia pula sekadar menganggukkan kepala. Terus bersetuju dan tidak lagi menyoal sesuatu yang mungkin mengimbas kenangan lama bosnya.
Jika kenangan bahagia, mungkin tidak mengapa. Tetapi jika kenangan duka, Dahlia tidak berani menyoal lagi.
Biarlah! Biarlah buat masa sekarang semua itu menjadi rahsia yang hanya Encik Zaf sahaja tahu. Mungkin akan tiba masanya suatu hari nanti, Encik Zaf akan bercerita kepada Dahlia tentang semua itu.



TIBA di persimpangan denai, Dahlia menoleh ke sisinya lagi. Ada tanda tanya yang memenuhi ruang fikirannya.
            Sepanjang perjalanan menghantar Dahlia pulang, Encik Zaf cuma diam membisu. Berpatah-patah bicara Dahlia, hanya sepatah sahaja jawapan yang diterima. Sudahnya, Dahlia turut sama diam sehinggalah sampai di sini.
‘Encik Zaf marahkan Dahlia ke?’ Berkali-kali soalan yang sama muncul di dalam hati Dahlia.
Serba salah Dahlia dibuatnya. Bimbang juga pertanyaan Dahlia tentang gambar itu telah menyakiti hati Encik Zaf. Sebab itulah Encik Zaf hanya diam membisu tanpa sepatah bicara pun.
Err… Encik Zaf. Saya nak minta maaf. Sebab tertanya pasal tadi.” Akhirnya, Dahlia memulakan bicara setelah beberapa minit kesunyian menemani mereka.
Zafiy menoleh sekilas sebelum menggeleng perlahan. “Tak mengapalah, Dahlia. Saya tahu awak tak sengaja.”
“Jadi, Encik Zaf dah maafkan saya?” tanya Dahlia lagi. Lagipun Encik Zaf masih tidak menjawab soalan Dahlia sebentar tadi.
“Ya. Saya dah maafkan. Nanti kirimkan salam saya untuk mak awak. Bagitahu mak awak, saya minta maaf sebab buat awak balik lewat.”
“Yalah. Nanti saya bagitahu mak. Encik Zaf tak nak singgah dulu?”
“Taklah. Lain kali ya, Dahlia.”
Dahlia mengukirkan senyuman sambil mengangguk perlahan. Sebenarnya, Dahlia juga ajak-ajak ayam sahaja. Syukurlah sebab Encik Zaf tak nak singgah. Lagipun, rumah mereka usang. Tidak sesuai untuk orang seperti Encik Zaf atau ahli keluarga Encik Zaf menapak masuk ke dalam rumah mereka.
“Kalau macam tu saya balik dulu, ya? Assalamualaikum.” Selepas memberikan salam, Dahlia terus menapak keluar dari kereta.
Zafiy pula sekadar menjawab salam dan terus berlalu meninggalkan kelibat Dahlia.
Dahlia hanya memandang kelibat kereta yang mula menghilang dari pandangan matanya. Ya Allah, aku bersalah sebab buat dia susah hati. Tapi aku tak berniat macam tu pun.
Tak mengapalah, Abang Zaf. Mungkin bukan sekarang masanya untuk kita bercerita dari hati ke hati. Mungkin suatu hari nanti akan tiba saatnya untuk kita berbicara tentang perasaan dan kemaafan yang tertangguh.

Saya akan sentiasa mendoakan yang baik-baik sahaja untuk kita. Insya-Allah. 

#UnedditedVersion

No comments:

Post a Comment