Wednesday, March 2, 2016

Mencintai Satu Nama 1


BAB 1

SAMBIL mengukirkan senyuman, Dahlia melabuhkan duduk di atas kerusi kerjanya. Alhamdulillah, diam tak diam sudah dua minggu Dahlia berada di syarikat ini.
Sejujurnya, Dahlia sukakan suasana kerja di sini. Masing-masing bekerja dengan bersungguh-sungguh. Berbeza dengan tempat kerja lama yang banyak main daripada buat kerja.
Dahlia mencapai kelendar di atas meja. Kalau ikutkan, hari ni Dahlia akan berjumpa bos untuk pertama kalinya. Sebelum ini, Dahlia pernah dimaklumkan oleh Bahagian Sumber Manusia bahawa bos Dahlia ke Sabah untuk urusan kerja.
Berdebar juga nak jumpa bos. Iyalah, kat bilik bos Dahlia langsung tak ada gambar. Janganlah bos Dahlia lelaki kerek yang ditemuinya sewaktu temuduga itu. Kalau betul lelaki kerek tu, habislah Dahlia!
Sungguh, Dahlia tidak percaya apabila dimaklumkan bahawa dia diterima bekerja di syarikat ini. Sedangkan ketika temuduga, Dahlia sudah dimaklumkan tentang keputusan yang tidak berpihak kepadanya.
Alhamdulillah… rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari! Mungkin semua ini berkat daripada doa-doa Dahlia selama ini.
Encik Aril, selaku bos Bahagian Sumber Manusia telah memaklumkan kedudukan yang sebenar dan skop kerja Dahlia. Walaupun masih baru, Dahlia tetap perlu berusaha sendiri. Terpaksa turun naik ke tingkat bawah untuk belajar dengan Fatin.
Tak mengapalah. Asalkan diterima bekerja. Itu sudah memadai bagi Dahlia.
Usai mencatatkan sesuatu di dalam diari, Dahlia terus membuka fail yang perlu disiapkan. Nampaknya, kalau bos Dahlia tidak datang lagi hari ini, Dahlia perlu turun berguru dengan Fatin lagi.
Ralit mencatat sesuatu di atas muka buku, tiba-tiba Dahlia perasankan derap langkah seseorang yang sedang menghentikan langkah di hadapan meja kerjanya.
Kepala didongak. Berkerut dahinya sekejap. Sekujur tubuh yang tidak dikenalinya itu kelihatan sedang tersenyum ke arahnya.
“Ya, encik? Boleh saya bantu?” tanya Dahlia apabila lelaki segak di hadapannya berterusan memandang wajahnya. Sungguh, Dahlia tidak dapat mengagak siapa gerangan lelaki ini.
“Awak ni PA saya, kan?” Soalan berbalas soalan. Senyuman semakin lebar menghiasi wajah lelaki itu.
Terkebil-kebil anak mata Dahlia memandang seraut wajah itu. ‘Jadi, inilah dia Encik Zafiy? Tapi kenapa lain? Bukan mamat kerek hari tu ke?’
“Encik Zafiy ke?” tanya Dahlia kembali.
“Ya, saya. Jadi, awak pun baru kenal saya?”
“Ya, encik,” jawab Dahlia perlahan. Sepasang anak mata Dahlia singgah pada seraut wajah tenang lelaki di hadapannya.
Rupa-rupanya macam inilah rupa dia! Hmm, segak dan kacak! Paling mahal adalah lesung pipit di kedua-dua belah pipi yang menyerlah ketika senyum dan bercakap.
Zafiy mengangguk perlahan. Wajah di hadapannya diperhatikan lagi. Ulas bibirnya menghulur senyum apabila mengingatkan cerita Najman ketika temuduga Dahlia.
“Sebelum ni tak ada siapa kenalkan awak dengan saya?” tanya Zafiy selepas beberapa minit masing-masing saling mendiamkan diri.
“Belum ada.”
“Kalau macam tu, sepuluh minit lepas ni awak masuk ke bilik saya, ya? Saya terangkan apa yang perlu.”
“Baiklah, encik. Terima kasih.”
“Sama-sama.” Zafiy menjawab sebelum berlalu ke biliknya. Dalam diam, seulas bibirnya menguntumkan senyuman kecil. Haih, untunglah dapat PA yang cantik macam Dahlia!
Dahlia melepaskan nafas kelegaan. Sejujurnya, dia lega sangat. Bosnya bukanlah lelaki kerek yang menggunakan nama Encik Zafiy ketika Dahlia menghadiri temuduga pada bulan lepas.
Dan Dahlia juga bersyukur kerana dia ditugaskan di bawah Encik Zafiy sendiri. Jadi, bolehlah dia kenal dengan Encik Zafiy lebih dekat lagi. Hmm, Encik Zafiy nampak macam baik. Kacak pula! Patutlah…
“Hoi, apasal pandang-pandang Encik Zaf?”
Teguran Kak Syima memeranjatkan Dahlia. Senyuman kecil dihulurkan kepada sahabat barunya itu. “Dah dua minggu saya kat sini, kak. Baru hari ni dapat jumpa bos sendiri.”
“Itulah, Dahlia bukan main risau lagi, kan? Akak dah cakap, Encik Zaf ni lain sikit. Dia baik. Dahlia memang beruntung sebab dapat bos macam dia. Kalau dapat bos macam adik dia, habislah!”
“Habis tu, Encik Emir tu garang ke kak?” Teringatkan seorang lagi panel temuduga yang bekerja di aras sama, Dahlia cuba bertanya.
Kak Syima ni PA Encik Emir. Tapi Dahlia pun masih belum berkesempatan untuk bersua muka dengan Encik Emir sepanjang dua minggu Dahlia di sini.
“Eh, taklah! Akak lagi beruntung, tau? Encik Emir tu sudahlah kacak, baik pula. Kadang-kadang dia suka belanja akak makan. Itu yang paling best!”
“Oh, pasal belanja makan itulah akak cakap dia baik, ya?” Sempat Dahlia mencebik ke arah Kak Syima.
Hesy, bukanlah! Encik Emir memang betul-betul baik. Silap hari bulan, Dahlia pun boleh terjatuh suka dekat bos akak. Maklumlah, masing-masing masih single!”
“Mengarutlah akak ni!” marah Dahlia sebelum melabuhkan duduk di kerusinya. “Akak… kalau bos akak dah sampai, jangan lupa bagitahu saya, ya? Kutlah saya betul-betul terjatuh suka dengan dia nanti.”
“Perasan!” Kak Syima terus mencebik sebelum berlalu ke meja kerjanya yang tidak jauh dari meja kerja Dahlia.
Dahlia cuma melepaskan ketawa. Sejujurnya, Dahlia suka berkawan dengan Kak Syima. Walaupun Kak Syima lebih berusia berbanding Dahlia, namun kadang-kadang mereka ‘satu kepala’.
Lagipun, Kak Syima memang melayan Dahlia dengan baik sejak hari pertama Dahlia melangkahkan kaki di bangunan pejabat ini. Kak Syima juga tidak kedekut ilmu dan banyak membantu Dahlia membetulkan tugasannya. Sama seperti Fatin juga.



SEPULUH minit berlalu, Dahlia terus mengorak langkah ke bilik bosnya. Kan Encik Zafiy dah bagitahu macam tu tadi.
“Ya, Dahlia. Masuklah.”
Baru sahaja daun pintu bilik itu diketuk sekali, suara dari dalam sudah menyahut. Dahlia melangkah masuk dengan penuh berhati-hati. Seulas senyuman dihulurkan.
“Duduklah.”
“Ada apa-apa yang boleh saya tolong?” tanya Dahlia selepas melabuhkan duduk di kerusi yang berhadapan dengan meja bosnya. Sempat anak mata Dahlia menangkap fail peribadi kerjanya yang berada di atas meja Encik Zafiy. Mungkin Encik Zafiy baru siap membaca butiran peribadinya.
“Encik Aril ada bagitahu saya yang awak belajar dengan Fatin dalam tempoh dua minggu ni.”
“Ya, encik. Saya belajar dengan Fatin berkenaan tugas-tugas saya.”
“Encik Zaf. Panggil saya Encik Zaf. Saya tak suka kalau staf saya panggil encik-encik macam tu. Nampak macam pembantu rumah dari Indonesia pula.”
“Oh, maaf Encik Zaf. Saya tak tahu.” Terkulat-kulat Dahlia dibuatnya! Ada ke patut bos aku ni samakan aku dengan pembantu rumah dari Indonesia? Haih, orang comel macam ni pun kena kutuk juga! Nasib kaulah Dahlia!
“Tak mengapalah. Lagipun awak baru masuk kerja, kan? So, ada apa-apa lagi yang tak faham? Kalau tak faham, saya boleh terangkan.”
“Setakat ni semuanya masih okey.”
“Lepas ni kalau tak tahu apa-apa boleh tanya saya terus. Sebenarnya, PA saya yang dulu tu hantar notis 24 jam. Sebab itu dia tak sempat nak ajar skop kerja dia kepada awak. Biasanya, kalau staf berhenti dengan notis sebulan, ada training tiga minggu sebelum masuk kerja.”
Dahlia mengangguk kecil. Patutlah! Tak sempat Dahlia nak kenal dengan PA Encik Zaf yang lama. “Oh, macam tu ke? Tapi tak mengapalah. Saya banyak belajar perkara baru dengan Fatin. Kak Syima pun banyak bantu saya.”
Zafiy senyum dan turut mengangguk perlahan. Nampaknya, mereka tidak tersilap membuat pilihan. Dahlia memang layak untuk jawatan ini.
“Baguslah kalau awak pandai bergaul macam tu. Saya harap lepas ni kita dapat bekerjasama dengan baik. Fatin cakap awak ni cepat belajar perkara yang baru.”
“Insya-Allah, Encik Zaf. Saya akan cuba buat yang terbaik.”
“Ada apa-apa soalan lagi yang awak nak tanya tak?”
Banyak! Banyak sangat nak tanya. Terutamanya pasal temuduga hari tu. Tapi boleh ke tanya? Termasuk dalam urusan kerja tak? Tapi nak tahu juga!
“Encik Zaf… kenapa saya tak nampak pun muka Encik Zaf kat dalam bilik temuduga hari tu? Bukan sepatutnya Encik Zaf yang temuduga saya? Sebab dekat meja panel kelima ada nama Encik Zaf.”
“Oh, pasal temuduga tu? Last minute, Dato’ Azman call minta ke site sebab ada masalah. Itu yang suruh adik saya gantikan.”
Jadi, mamat kerek tu adik Encik Zaf? Huh, berbeza sungguh perwatakan mereka berdua! Tengok sajalah Encik Zaf yang baik hati ini. Adik dia ada baik hati macam ni? Tak rasanya!
“Tapi saya peliklah, Encik Zaf. Sewaktu temuduga hari tu, panel kelima dah buat keputusan yang saya gagal. Tiba-tiba dapat panggilan diterima bekerja. Kenapa sebenarnya?”
Zafiy senyum. Dia ada dengar cerita pasal adiknya mengamuk ketika menemuduga Dahlia. “Maaflah, Dahlia. Adik saya tu memang macam tu sikit. Rasanya, ramai juga staf yang tak suka dengan adik saya. Dia nampak saja kerek dan berlagak macam tu. Tapi sebenarnya dia baik. Awak janganlah ambil hati dengan perangai dia tu.”
Dahlia mengangguk kecil. Baiklah sangat?! Harap-harap aku tak akan jumpa muka dia lagi dalam bangunan pejabat ni. Aamiin!
“Pasal temuduga tu, keputusan bukan dibuat oleh dia seorang sahaja. Lulus atau tidak mengambil kira markah daripada semua panel. Kalau awak nak tahu, markah yang dia bagi memang tak banyak. Tapi markah panel lain banyak. Sebab awak memang layak untuk mengisi jawatan ini,” jelas Zafiy lagi.
Oh, jadi dia bagi markah aku sikit, ya? Siaplah kau! Kalau aku jumpa kau nanti, aku nak ketuk kepala kau sampai pengsan.
“Oh, macam tu rupanya! Hmm, kalau macam tu, saya dah tak ada apa-apa nak tanya lagi. Boleh saya sambung buat kerja?” Malas mahu bertanya lebih lanjut, Dahlia terus meminta diri.
Zafiy senyum sambil mengangguk perlahan. “Ya, boleh.”

#UnedditedVersion

No comments:

Post a Comment