Wednesday, September 23, 2015

Ajari Aku Untuk Mencintaimu 15


BAB 15

Kita hanya mampu merancang,
tetapi Allah yang akan menentukan segalanya…


SERAUT wajah yang masih lena di atas katil itu dipandangnya lama. Rasa bersalah datang membuak-buak. Rasa menyesal menghempap otak kecilnya.
“Ain… I’m sorry. Abang tahu yang selama ini abang khilaf. Abang bongkak. Ego! Berlagak dengan Ain. Abang jahat kan, Ain?”
Sungguh, dia benar-benar menyesal. Sebenarnya, dia tersilap menilai siapa Nurul Ain Insyirah. Selama ini, Ain benar-benar baik dengannya. Cuma dia sahaja yang langsung tak ambil kisah tentang perasaan Ain. Bukannya dia tidak nampak, cinta yang mula bertapak di hati Ain. Tetapi dia butakan matanya kerana cintanya terhadap Dhiya.
Ain… Abang jahat, kan?
“Maafkan abang, Ain.” Sekali lagi tangan yang sejuk itu digengamnya erat sebelum mencium sepasang tangan isterinya. Sudah berkali-kali dia meminta maaf. Tapi apakan daya. Ain masih belum bangun dari lenanya.
Dari luar pintu bilik yang dihuni Iqram dan juga Ain, dia dapat melihat dengan jelas air mata yang menitis jatuh di pipi Iqram. Bukannya telinga tidak mendengar. Berkali-kali Iqram mengucapkan perkataan maaf walaupun sekujur tubuh ain masih lagi kaku.

Ain pengsan. Tubuhnya kelihatan benar-benar lemah dan pucat. Seawalnya Iqram mencadangkan untuk menghantar Ain ke hospital. Tetapi mama tidak membenarkan. Bimbang kes Ain akan dikategorikan sebagai kes dera. Ya, memang tiada kesan luka. Tetapi tubuh yang lemah dan tidak bermaya itu mungkin boleh disalah tafsirkan.
Mama menelefon seorang sahabatnya yang bergelar doktor. Dua botol air sudah dicucuk ke lengan Ain. Namun Ain masih tidak sedarkan diri. Iqram pula, langsung tidak berganjak dari katil Ain. Sampai tertidur dalam keadaan duduk sambil tangannya tidak lepas daripada memegang tangan Ain.
Bibirnya mengulum senyuman kecil. Tengok! Mulut Iqram selalu berkata yang dia bencikan Ain. Tetapi sebenarnya, jauh di sudut hatinya, Iqram sebenarnya sayangkan Ain. Terima kasih, Abang Iqram. Sebab sudi menempatkan nama Ain di hati abang.
Rasa sebak dan sebu bermain di dalam dada. Rasa menyesal dengan apa yang pernah dilakukannya kepada Ain dan juga Iqram. Iqram menjadi mangsa keadaan kerana dia. Begitu juga dengan Ain.
Ain… Betul ke kau dah maafkan aku?
Dalam diam, air matanya menitis jatuh. Menyesali perbuatan lampau. Ya Allah… Ampunilah segala dosa yang pernah aku lakukan kepada Ain, mama dan juga Abang Iqram. Ampunilah dosa-dosa silamku, Ya Allah.
“Rish…”
Satu sentuhan lembut singgah pada bahunya, benar-benar membuat dia terperanjat. Mama! Laju tangannya menyapu air mata di pipi sebelum menoleh ke belakang. Senyuman cuba diukirkan walaupun terasa pahit.
Puan Aryana turut mengukirkan senyuman kecil. Ya, dia tahu… Farish sudah benar-benar menyesal dengan perbuatannya. Terima kasih, Rish. Kerana menjadi Farish yang sekarang. Bukan Farish yang dulu lagi. “Mama ada sediakan minum. Jom, kita minum dulu?”
“Rish tak ada selera nak minum, mama.”
“Rish… Jangan macam ni. Apa yang berlaku tadi bukan salah Rish. Jadi, mama tak nak Rish salahkan diri Rish lagi.”
“Rish berdosa pada Ain, mama. Juga pada Abang Iqram. Dan juga mama.”
Puan Aryana mengusap perlahan bahu anaknya. “Mama tahu Rish dah menyesal. Mama dah lama maafkan Rish. Dan mama yakin, Ain juga dah lama maafkan Rish.”
“Abang Iqram…”
“Pasal Iqram, Rish jangan risau. Mama kenal anak-anak mama macam mana. Ram tu marahnya bukan lama. Kejap lagi okeylah tu. Kita minum dulu, ya?”
“Mama…” Farish mencapai kedua-dua belah tangan mamanya. Sepasang anak mata redup di hadapannya ditatap lama.
“Ada apa, Rish?”
“Sebenarnya… Rish ada simpan satu rahsia. Rish sembunyikan rahsia tu daripada pengetahuan mama, Abang Ram, dan juga Ain.”
“Maksud Rish?”
“Rish hanya akan bagitahu bila Ain dah sedar. Sebab Rish nak Ain tahu perkara yang sebenarnya.”
Puan Aryana mengangguk kecil. “Baiklah. Kalau macam tu, kita tunggu Ain bangun dulu. Mama akan sabar menanti untuk mendengar rahsia Rish.”
“Terima kasih, mama. Cuma mama seorang aje yang faham Rish. Rish sayang mama sangat-sangat.”
“Iya, mama tahu. Mama kan ibu Rish. Mestilah mama faham perasaan anak-anak mama.”


“MAMA… Abang Ram… Rish ada benda nak cakap.” Setelah berfikir panjang, Farish akhirnya bersuara. Tidak mahu menyimpan lagi rahsia besar itu. Mahu menghapuskan segala rasa bersalah yang membelenggu diri.
Dua pasang anak mata Puan Aryana dan Iqram serentak menoleh ke arah Farish yang juga sedang memandang mereka berdua silih berganti.
“Tak nak tunggu Ain bangun dulu, Rish? Tadi Rish cakap nak tunggu Ain bangun dulu.”
“Tak perlu kot. Rish kesiankan Ain. Rish tak nak bebankan Ain lagi. Biarlah dia berehat. Lepas ni, biar Abang Ram yang ceritakan semua ini kepada Ain.” Anak matanya menjeling sekilas ke arah seraut wajah yang sedang tidur itu. Ain dah sedar ke? Ain dengar ke? Anak matanya sempat menangkap kelopak mata Ain yang sedang bergerak-gerak. Mungkin Ain dah bangun. Tetapi sengaja mendiamkan diri dan cuba mencuri dengar.
“Apa maksud kau ni?” Soal Iqram tidak berpuas hati apabila nama Ain kerap meniti di bibir Farish. Cemburu? Nonsense! Cuma sakit hati sahaja.
Farish melepaskan keluhan kecil. Tengok, dia memang cemburu kalau aku sebut nama Ain, kan? Maksudnya, dalam hati dia juga menyimpan satu rasa kepada Ain. Cuma bibirnya sahaja yang selalu menidakkan. Sekali sekala, perangai Abang Ram ni kebudak-budakkan.
“Abang Ram… Lepas ni, tolong jangan marah-marah Ain lagi. Tolong jaga hati dan perasaan Ain. Dia tak bersalah. Dia cuma mangsa keadaan.”
“Dia seorang aje tak bersalah? Dia seorang aje mangsa keadaan? Yang bersalahnya aku seorang ajelah?” Sungguh, dia tidak berpuas hati apabila Farish melebih-lebihkan Ain. Seolah-olah Farish meletakkan kesalahan di bahunya seorang. Bagaimana pula dengan Farish? Semua ni berlaku sebab Farish! Farish yang mulakan dulu!
“Abang Ram… Rish rasa Ain dah mula cintakan Abang Ram. Rish perasan semua tu. Rasanya mama juga perasan benda yang sama. Betul tak, mama?”
Puan Aryana mengangguk kecil. “Hmm… Mama pun rasa macam tu. Bukan sejak akhir-akhir ini. Tapi sejak lama dulu. Sejak awal perkahwinan Ram dan Ain. Ain tu, baik sangat. Hati dia lembut.”
“Huh, nonsense!”
“Abang Ram… Lepas Rish cerita semua ni, Rish nak abang Ram berubah. Lupakan Dhiya. Dan cuba letakkan Ain di dalam hati Abang Ram. Cuba sayang dan cintakan dia lebih banyak daripada cinta abang untuk Dhiya.”
“Kau merepek apa ni, Rish? Aku tak…”
“Kalau Abang Ram masih degil dan masih berani lukakan hati Ain, Rish tak teragak-agak untuk rampas Ain daripada abang.” Farish terus menyampuk dan mengugut. Keras kepala abangnya sebenarnya lebih keras daripada keras kepalanya. Jika tidak diugut begitu, Iqram pasti akan terus berdegil.
Bulat mata Iqram memandang Farish apabila mendengar ayat terakhir itu. Ain isteri aku! Apa hak kau nak rampas Ain daripada aku?! “What? Kau gila ke? Jadi, kau memang ada hati lagilah dengan Ain?”
“Rish… Ram… Kita berkumpul untuk berbincang. Bukan untuk bertengkar.” Puan Aryana memicit kepalanya perlahan. Pening kepala dengan sikap angin dua anak lelakinya ini.
“Farish ni, mama! Boleh dia cakap mengarut macam tu!”
Farish menahan ketawa di dalam hati. Tengoklah tu! Kalau aku cakap macam tu, bukan main bengang lagi muka dia. Kalau dia sakitkan hati Ain tak apa pulak? “Rish akan kotakan kata-kata Rish. Jadi malam ni, Rish akan bongkarkan rahsia yang Rish simpan selama ini. Ain pun tak tahu pasal perkara ni.”
Farish
“Rahsia apa?” Soal Iqram dengan nada amarah. Rasa seperti dipermain-mainkan oleh Farish. Juga masih rasa bengang bila Farish cakap mahu merampas Ain darinya.
“Mama tak faham. Boleh tak Rish berterus-terang? Maksud Rish, rahsia apa?”
“Sebenarnya malam tu… tak ada apa-apa yang berlaku, ma.” Akhirnya! Patah kata yang dipendamnya sekian lama dapat diluahkan juga. Di hadapan mama. Di hadapan Iqram. Dan juga di hadapan Ain. Walaupun Ain kelihatan seolah-olah sedang tidur, dia tahu Ain dengar. Dia perasan kelopak mata Ain yang bergerak-gerak. Mungkin Ain dah sedar sejak tadi. Cuma dia tidak mahu membuka kelopak matanya.
Terkedu Puan Aryana untuk beberapa saat. Tidak berkelip anak matanya memandang seraut wajah Farish. Tidak percaya dengan apa yang baru singgah ke dalam corong telinganya.
Melihat kediaman dua wajah itu, Farish menarik nafas panjang. Dia memilih untuk meneruskan patah kata yang tergantung. “Sebenarnya… Rish memang sengaja nak kenakan Ain. Sebab Ain dah malukan Rish masa kat kolej.”
“Apa maksud Rish ni? Mama tak faham?”
“Kau cakap apa ni, Rish?” Iqram menunjukkan wajah bengisnya. Tak faham! Serabut betul kepalanya saat ini? Apa yang dah berlaku sebenarnya?
Ain diam. Kelopak matanya ditutup rapat. Seboleh-bolehnya dia cuba menahan air mata daripada menitis jatuh. Kenyataan yang baru didengarinya benar-benar melemahkan semula tubuhnya yang beransur segar. Rasa seperti dihempap dengan satu batu yang besar. Rasa seperti dihunus oleh pisau yang tajam. Sakit sangat!
 “Malam tu, Rish yang letakkan pil tidur dalam minuman Ain. Rish memang berniat nak rogol dia, ma. Tapi Rish tak sampai hati. Sudahnya… Rish buat-buat macam Rish dah rogol dia. Memang Rish cakap yang Rish buat benda tu pada dia.Tapi sebenarnya tak, ma. Rish tak rogol dia.” Farish memandang seraut wajah Ain. Jelas seraut wajah itu menunjukkan riak kecewa. Maafkan abang, Ain. Abang bersalah dengan Ain.
“Yang pasal kahwin tu, Rish memang setuju pada mulanya. Tapi bila fikir balik, baik Rish tak payah kahwin dengan dia. Lagipun Rish tak buat apa-apa pada dia. Buat apa nak bertanggungjawab. Rish tinggalkan dia masa hari pernikahan tu sebab Rish memang berniat nak tunaikan dendam Rish. Suatu ketika dulu Ain dah malukan Rish dan tolak cinta Rish depan kawan-kawan Rish. Jadi Rish nak buat benda yang sama pada Ain. Rish berniat nak malukan Ain.”
“Sampai hati kau buat macam tu, Rish? Kau tahu tak siapa yang tanggung semua tu? Aku, Rish! Aku yang terpaksa ganti kau! Sedangkan masa tu, aku dah plan nak berkahwin dengan Dhiya. Aku terpaksa lupakan semuanya sebab Ain! Sampai hati kau buat macam ni, kan?” Iqram mula hilang sabar. Jika tidak kerana mama yang turut sama di situ, mungkin sahaja penumbuknya sudah hinggap ke muka Farish. Tak guna!
Ain menahan sendunya yang semakin menjadi-jadi. Saat ini seraut wajahnya sudah lecun dengan air mata. Jadi, sebenarnya… Iqram memang dah merancang nak kahwin dengan Dhiya lagi dua bulan?
“Iqram… Jangan macam ni. Jangan biarkan amarah menguasai diri. Kelak amarah itu akan bertukar kepada dendam.” Sempat dia mententeramkan kemarahan Iqram. Nafas di tarik panjang sebelum senyuman kecil terukir di bibirnya.
“Rish… Ram… Jujur, mama rasa lega sangat. Lega kerana semua yang mama fikirkan tentang anak-anak mama betul. Mama tahu, anak-anak mama boleh menilai yang mana baik dan yang mana buruk.”
Satu persatu raut wajah anaknya dipandang bersama riak kelegaan. “Ram… Rish… Kebenaran dah terungkap. Mama rasa anak-anak mama dah boleh berdamai, kan? Dah boleh mencari kebahagian masing-masing, kan?”
Farish diam sambil menundukkan wajah. Bagaimana dia boleh mengait bahagia jika rasa bersalah masih lagi merantai jiwa. Semuanya berpunca daripada dia.
Iqram melepaskan keluh kesah. Bagaimana dia boleh mengait bahagia setelah mendengar semuanya? Dia bersalah pada Ain. Dan dia juga bersalah pada Dhiya.
Ain diam membisu. Membiarkan hujan air mata membadai sekeping hatinya. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku ini. Sungguh, aku langsung tak terniat nak rampas Iqram dari Dhiya. Anak matanya memandang seraut wajah Iqram. Cuba membaca riak wajah yang jelas nampak kecewa dan menyesal.
Awak… Patutlah awak bencikan saya sangat-sangat. Patutlah awak tak pernah nak anggap saya ni isteri awak. Rupa-rupanya, awak memang sengaja sakitkan hati saya supaya saya minta cerai dengan awak, kan? Supaya awak boleh bersama Dhiya.
Jadi, apa yang Dhiya bagitahu tu semuanya benar belaka? Lalu, untuk apa lagi aku di sini? Lalu, layakkah aku bergelar isteri kepada seorang lelaki yang mencintai perempuan lain? Sanggup ke aku meraih bahagia di atas penderitaan orang lain?
Derita hati Iqram…
Derita hati mama…
Derita hati Farish…
Dan juga derita hati Dhiya…
“Mama janji! Kalau betul Ain tak mengandung, Iqram boleh lepaskan Ain kalau Iqram setuju.”
Makin laju air matanya menitis apabila teringatkan patah kata mama. Awak… betul ke awak akan lepaskan saya lepas ni? Kali ini, tidak ada apa lagi yang akan mengikat saya untuk terus menjadi isteri awak, kan? Awak akan lepaskan saya ke Iqram?
Ya Allah Ya Tuhanku… Jika benar ini adalah ujianMu untuk hambaMu yang lemah ini, aku redha, Ya Allah… Aku pasrah dengan ketentuanMu.

# Ajari Aku Untuk Mencintaimu

3 comments: