Friday, May 5, 2017

Mencintai Satu Nama 9


BAB 9

TERLOPONG besar mulut Dahlia sebaik sahaja sampai di halaman rumah Najman. Amboi, punyalah bapak besar rumah dia! Kalau tinggal ramai-ramai tak apalah juga. Ini tinggal seorang diri. Kalau aku, memang tak naklah duduk rumah besar macam ni seorang diri. Menakutkan!
“Tak nak masuk dulu?”
Err… tak nak. Saya tunggu kat sini saja,” jawab Dahlia dengan teragak-agak.
Hesy, Najman ni! Tak tahu hukum ke? Karang boleh menimbulkan fitnah pula. Sudahlah dia nak masuk mandi.
Hmm, kalau macam tu saya masuk dulu. Nak air tak?” tanya Najman sebelum menapak masuk ke dalam rumah.
“Tak nak.”
“Tak dahaga?”
Geleng.
“Kalau nak minum, masuk sendiri, ya? Ambil kat dapur.”
“Yalah,” jawab Dahlia sepatah.
Jual mahal pula, Dahlia? Padahal tekak bukan main dahaga lagi. Hesy, tak sangguplah nak masuk rumah anak teruna orang. Tahan sajalah dahaga tu, Dahlia. Bukannya tinggal kat Gurun Sahara pun.
Sementara menunggu Najman mandi dan bersiap, Dahlia melangkahkan kaki ke taman mini. Terkebil-kebil anak mata Dahlia melihat keindahan taman mini di halaman rumah Najman. Teruja sungguh hatinya apabila dapat melihat permandangan yang cukup mendamaikan jiwa di hadapan mata.
Wah, cantiknya! Kan best kalau setiap hari Dahlia dapat duduk sambil menghadap air terjun buatan di sini.
Eh, ada ikan dalam kolam ni? Rajin pula Najman nak jaga ikan-ikan ni?
Tangan gatal Dahlia terus mencapai makanan ikan di tepi kolam itu lalu ditaburkan ke dalam kolam. Semakin lebar senyuman di wajah Dahlia apabila melihat ikan berebut mendapatkan makanan yang ditaburnya.
Amboi, Dahlia? Buat macam rumah sendiri nampak?
Beberapa saat kemudian, Dahlia menoleh pandang ke arah taman yang bersebelahan kolam ikan. Ada batu-batu terapi di situ.
Tidak teragak-agak, Dahlia terus melangkah ke arah batu-batu terapi itu. Kasut dibuka. Membiarkan sahaja stokin membaluti kakinya. Kemudian, Dahlia mengatur langkah di atas batu-batu kelikir itu.
Fuh, tajam juga! Boleh tahan sakitnya!
Sambil berjalan di atas batu itu, sambil fikiran Dahlia teringatkan Kak Jasmin, mak, dan Orkid.
Mak… kalau Lia banyak duit suatu hari nanti, Lia akan buat rumah lagi besar daripada rumah ni. Kalau Lia, Kak Min, dan Orkid kahwin nanti, kami tetap juga nak tinggal dengan mak. Biar penuh rumah kita dengan suara cucu-cucu mak.
Dahlia mengukirkan senyuman kecil. Dia selalu membayangkan suasana begitu. Itu adalah impian Dahlia, Kak Jasmin, dan juga Orkid. Dengan izin Allah, sudah pasti impian mereka termakbul. Insya-Allah.
Kak Min… Lia datang ke rumah Najman. Cuma, belum sempat nak menjengah ke rumah Abang Zaf. Suatu hari nanti, Lia nak pergi juga ke rumah dia. Nak tengok dengan mata dan kepala Lia sendiri bagaimana kehidupan dia.
Jauh menungan Dahlia memikirkan wajah-wajah yang datang silih berganti di hadapan matanya.
Najman mengukirkan senyuman kecil. Dari balkoni biliknya, Najman dapat melihat kelibat Dahlia yang sedang berjalan di atas batu-batu terapi. Melihat Dahlia yang tersenyum bahagia seperti itu, hati Najman juga diterpa perasaan bahagia yang membuak-buak.
Suatu hari nanti, Najman akan melamar Dahlia untuk menjadi permaisuri hatinya. Dan mereka berdua akan tinggal di sini. Seperti hari ini. Cuma yang membezakannya, ketika itu mereka sudah halal sebagai pasangan suami isteri.
Suatu hari nanti, Najman akan mengajak Dahlia berdiri di balkoni ini sambil melemparkan pandang ke arah taman mini. Di belakang Dahlia, ada Najman yang sedang memeluk Dahlia sambil menikmati keindahan ciptaan Tuhan Yang Esa. Di taman mini itu pula ada anak-anak mereka yang sedang bermain dan menjerit keriangan.
Indahnya perasaan ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Ya Tuhan, aku impikan hidup bahagia bersama Dahlia. Seandainya dia adalah jodoh yang telah Engkau tulis buatku, dekat-dekatkan hati kami berdua. Satukanlah hati kami untuk membina rumah tangga bahagia seperti yang aku selalu angan-angankan. Aamiin!
Dahlia mendongak apabila terasa seperti dipandang oleh seseorang. Dari balkoni bilik, Najman sedang berdiri sambil mengukirkan senyuman kepada Dahlia.
Oh, rupanya bilik dia memang betul-betul berhadapan dengan taman mini ini?
Setelah beberapa saat saling berpandangan di antara satu sama lain, Dahlia mengerutkan dahi sebelum menjungkitkan kening sebagai pertanyaan senyap.
Najman pula hanya membalas dengan senyuman dan kenyitan mata. Lagak seperti sedang mengurat anak dara orang.
Dahlia mencebik sebelum mengangkat penumbuk sebagai amaran.
Apa lagi? Tercetus ketawa kuat dari ulas bibir Najman.
“Awak dah siap mandi ke belum? Jom balik ke pejabat?” Kali ini Dahlia bersuara. Jujur, ada debar yang menghuni ruang dada Dahlia apabila berada di sini berdua-duaan dengan Najman. Ada perasaan yang sukar ditafsirkan bermain di dalam hati.
Lelaki itu mengangguk perlahan. Senyuman nampak masih tersungging di bibirnya. Haih, tak habis lagi ke gelakkan orang?
“Dahlia… sudah-sudahlah tu. Mari minum air dulu. Nanti nak balik ke pejabat pula.”
Dahlia menoleh apabila mendengar suara Najman menyapa. Senyuman dihulurkan sebelum menapak perlahan ke arah kasut yang ditinggalkan sebentar tadi.
“Nah, air!” Najman menghulurkan mug yang dipegang kepada Dahlia.
“Buat susah-susah saja. Jomlah balik ofis. Tak eloklah orang tengok kita berdua kat sini.”
“Minumlah air tu dulu. Nanti kita balik pejabat.”
Dahlia mengambil mug yang Najman hulurkan. Baru sahaja bibirnya ingin menyentuh bibir mug itu, otak kecil mula teringatkan sesuatu.
Tidak jadi untuk minum, anak mata Dahlia beralih ke arah seraut wajah Najman. Kemudian, dipandangnya mug di tangan dan wajah Najman silih berganti.
Jangan-jangan, Najman pun nak balas dendam tak?
“Kenapa pandang macam tu?” tanya Najman seakan-akan tidak berpuas hati dengan pandangan pelik Dahlia.
Err… awak tak letak apa-apa dalam air ni, kan?” Jujur pertanyaan Dahlia.
“Letak apa?”
Err… contohnya…” Ayat Dahlia mati di situ sahaja. Kemudian, sepasang anak matanya singgah lagi pada seraut wajah Najman yang sudah berkerut seribu.
Kali ini riak wajah Najman seperti sudah dapat mengagak apa yang sedang bermain di dalam fikiran Dahlia. Sepasang anak mata lelaki itu sudah memandang Dahlia dengan satu pandangan yang cukup tajam. “Jangan nak mengarut, eh? Saya tahulah mana yang halal, mana yang haram.”
Dahlia menjungkitkan bahu sambil mencebikkan bibir. “Orang saja tanya.” Mug itu kemudiannya diletakkan semula di bibir tanpa rasa ragu lagi. Kalau Najman berani buat apa-apa, tahulah apa aku nak buat dengan dia nanti!
Hilang perasaan curiga yang menghuni hati Dahlia. Namun, berganti pula dengan debaran yang tiba-tiba menyerang ruang dada.
Eh, kenapa berdebar pula? Err… mungkin sebab Najman baik sangat dengan Dahlia pada hari ini. Betul ke macam tu?
Najman… jangan baik sangat dengan saya. Saya bimbang jika suatu hari nanti saya akan melukakan hati dengan teruk.



SAMPAI di pejabat, jarum jam sudah menunjukkan angka lima setengah petang. Kebanyakan staf sudah mula beransur pulang. Abang Zaf juga sudah pulang. Namun, dia sempat meminta Najman mengambil beg kerjanya yang tertinggal di pejabat.
            Najman terus mengekor Dahlia untuk ke pejabat abangnya. Selepas mengunci semula pintu bilik abangnya, Najman singgah di meja Dahlia lagi.
“Dahlia…” panggil Najman perlahan.
Dahlia menoleh sekilas sebelum mengambil beg tangannya. “Ada apa?”
“Saya hantar awak ke stesen KTM, ya?” pelawa Najman lagi. Padahal tadi, Dahlia memang awal-awal lagi sudah menolak. Niat Najman untuk menghantar Dahlia ke rumahnya juga ditolak.
Haih, susah betul nak dekat dengan Dahlia ni. Jinak-jinak merpati. Nampak macam jinak. Tapi apabila nak dekat, lari pula.
Dahlia mengukirkan senyuman sambil mengelengkan kepala. “Tak perlulah. Saya tak nak menyusahkan awak. Lagipun stesen KTM tu bukanlah jauh mana.”
Itu juga jawapan Dahlia sejak tadi. Sudahnya, Najman mengangguk dan bersetuju untuk membiarkan Dahlia pulang sendirian. “Kalau macam tu, hati-hati berjalan nanti.”
Dahlia cuma mengangguk perlahan. “Saya balik dulu. Assalamualaikum.”
Salam itu dijawab di dalam hati. Selepas memerhatikan kelibat Dahlia sehingga menghilang, Najman terus mengatur langkah ke bilik Emir.
“Mir… belum balik lagi? Banyak kerja ke?” tegur Najman lalu mengatur langkah ke arah tingkap bilik pejabat Emir. Dari situ dia dapat melihat langkah Dahlia yang akan berjalan menuju ke stesen KTM.
Tidak menjawab pertanyaannya, Emir bangun dari duduknya lalu berdiri di sebelahnya. Namun, pandangan Najman masih lagi terarah pada jalan.
Emir menggelengkan kepala perlahan. “Aku ingatkan kenapalah tadi. Kalau nak pandang Dahlia, esok pun boleh pandang lagi, Man.”
Usikan sahabatnya itu Najman jawab dengan cebikan. Tangan kembali menutup tirai langsir setelah kelibat Dahlia sudah menjauh. Kaki pula dilangkahkan ke meja Emir lalu melabuhkan duduk di atas kerusi berhadapan dengan Emir.
“Kau kenapa?” tegur Emir lagi.
“Dahlia…” Perlahan sebaris nama itu meniti keluar dari seulas bibir Najman. Diselangi juga dengan satu keluhan panjang.
“Dahlia?” tanya Emir mengulangi patah nama yang sama.
“Ya, Dahlia!”
“Kenapa dengan Dahlia?”
Najman memandang wajah sahabatnya sekilas lalu. “Aku rasa… macam dah angaukan Dahlia.”
Mendengar baris ayatnya, Emir terus meledakkan ketawa.
Sungguh, Najman tidak berpuas hati apabila melihat ketawa sahabatnya itu. Anak mata dikecilkan sambil satu jelingan tajam dihadiahkan. “Apasal? Dah gila ke? Gelak mengalahkan pontianak!”
Emir berhenti ketawa apabila mendengar suara amarahnya. Namun, masih berbaki ketawa yang cuba ditahan sabahatnya itu.
“Tak adalah! Dulu bukan main lagi kau tak sukakan Dahlia. Ingat tak apa yang terjadi masa temuduga tu? Alih-alih, sekarang kau pula yang tergila-gilakan Dahlia!”
Najman cuma mengangguk. Itu kenyataannya. Dan hakikatnya, Najman memang benar-benar sudah terjatuh suka tanpa sengaja. Najman sukakan Dahlia. Najman sukakan semuanya tentang Dahlia.
“Sebenarnya kau pergi site ke pergi dating dengan Dahlia tadi?” perli Emir lagi.
“Pergi site! Tapi sebab mata ni sibuk duk pandang dan jeling-jeling Dahlia, aku terjatuh. Ni, tengok tangan ni!” Kedua-dua belah tapak tangannya diangkat tinggi.
Emir memandang kedua-dua tangan Najman. Kemudian, anak matanya beralih memandang mata Najman pula. “Then? Dahlia tolong balutkan?” teka Emir.
Najman mengangguk. “Ya, Dahlia yang tolong balutkan.”
Emir turut mengangguk kepala. Namun, tiada lagi gelakan yang terhembur keluar seperti tadi.
“Mir…” panggil Najman perlahan.
Hmm?”
“Kali pertama aku duduk dekat-dekat dengan Dahlia macam tu. Kali pertama Dahlia sentuh tangan aku walaupun berlapikkan tuala kecil. Jujur aku cakap, Mir. Dada aku macam nak pecah bila pandang wajah Dahlia dengan jarak sedekat itu. Perasaan macam tu… cinta ke, Mir?”
Sepasang anak matanya bersabung pandang dengan sepasang anak mata Emir. Sebelum ini, Emir juga tahu Najman tidak pernah bercinta. Dan juga tidak pernah tahu cinta itu bagaimana.
Sahabat di hadapannya ini pernah bercinta. Sebab itulah Najman bertanya. Mungkin Emir lebih tahu perasaan cinta itu bagaimana.
Emir menghulurkan senyuman kecil sebelum mengangguk perlahan. “Ya, yang itulah namanya cinta, Man.”
Najman mengerutkan dahi. Otak kecilnya sedang berusaha keras untuk menghadam kata-kata Emir. Anak mata memandang Emir, mengharapkan ada penjelasan selanjutnya.
“Bila perasaan kasih dan sayang bersatu, bila rasa ingin melindungi dan menyayangi itu wujud, bila hati menyebut rindu berulang kali, dan bila hati tersenyum gembira apabila menatap wajahnya, yang itulah namanya cinta.”
Kali ini Najman terdiam. Perlahan liurnya ditelan. Terasa seperti tersekat-sekat. Debaran halus pula mula mengusik jiwa.
Dahlia…
Ada debar yang kian memenuhi ruang dadanya di saat hati menyeru sepatah nama Dahlia.
Dahlia… yang inilah namanya cinta.

Apakah awak juga merasai apa yang saya rasa, Dahlia? Atau mungkin cinta saya cuma bertepuk di sebelah tangan sahaja?

#UnedditedVersion

No comments:

Post a Comment