Monday, May 16, 2016

Mencintai Satu Nama 2


BAB 2

DENGAN senang hatinya Najman menapak ke arah pintu bilik abangnya. Dua minggu Abang Zaf dan Emir outstation. Bosan betul Najman seorang diri kat pejabat bawah. Tak ada geng nak diajak bersembang.
Terkejut Dahlia dibuatnya! Laju sahaja Dahlia mengatur langkah lalu menghalang langkah kaki seorang lelaki yang sedang menapak ke bilik bosnya. Main redah saja! Ingat ofis ni bapak dia yang punya ke?
 “Maaf, encik. Nak jumpa Encik Zaf ke? Kalau encik nak jumpa Encik Zaf, boleh tunggu sekejap tak? Biar saya maklumkan pada Encik Zaf dulu.”
Teguran suara halus itu menghentikan langkah yang diatur oleh Najman. Kelihatan dahinya sudah menarik kerut seribu.
Di saat tubuh tegap itu berpusing ke arahnya, Dahlia sudah mengerutkan dahi. Terkebil-kebil anak matanya memandang seraut wajah itu. Walaupun mereka pernah bertemu sekali sahaja, tetapi Dahlia memang mudah mengecam wajah seseorang.
Who are you?” tanya Najman dengan riak yang entah apa-apa. Sepasang anak mata Najman singgah memandang senyuman yang tercalit pada wajah itu.
Dahlia mencebik di dalam hatinya. Mamat ni yang interview aku hari tu. Bukan main banyak lagi soalan yang dia tanya. Soalan pelik-pelik pula. Yang paling tak boleh lupa, dia boleh tanya kenapa aku tak kahwin lagi. Soalan apa entah macam tu!
I am Dahlia. New Personal Assistant for Encik Zafiy. So, can I help you, sir?”
Najman kelihatan mencebik. Meluat apabila wanita itu menjawab di dalam Bahasa Inggeris juga. Anak matanya merenung sepasang anak mata itu lama.
Do you know who I am?” Jari telunjuk Najman menghala ke dada sendiri.
A person. Hamba Allah. So, can I help you, sir?”
“Berlagak! Tak payahlah nak speaking bagai. Kau orang Melayu, kan? Bercakaplah dalam Bahasa Melayu. Susah ke nak bercakap Bahasa Melayu?” marah Najman bertubi-tubi.
Dahlia mengangkat wajah sambil merenung tajam seraut wajah di hadapannya. Boleh dia cakap aku berlagak pula? Dia tu yang berlagak dulu!
 “Maaf, encik. Tapi saya diajar oleh seseorang sewaktu temuduga hari tu, bila orang tanya dalam Bahasa Inggeris, kena jawab dalam Bahasa Inggeris juga.”
Najman merenung seraut wajah perempuan di hadapannya itu. Otak kecilnya seperti sudah dapat menangkap baris ayat yang dimaksudkan oleh wanita di hadapannya itu.
Jadi, dia inilah yang kenakan aku waktu temuduga hari tu? Dialah perempuan yang cakap ada sepuluh anak kucing tu?
Najman mencebik sambil menjeling tajam ke arah Dahlia. “Anak awak sihat?”
Dahlia senyum. Dalam diam cuba menyimpan tawa. Sempat lagi mamat ni perli aku, kan? “Alhamdulillah, sihat,” jawab Dahlia bersahaja.
So, boleh saya masuk jumpa Encik Zaf?”
“Tunggu sekejap. Biar saya tanya dia dulu.”
Tidak menunggu lama Dahlia terus menekan interkom dan berbual sepatah dua dengan bosnya. Kemudian senyuman dihulurkan kepada lelaki yang masih menanti di hadapannya.
“Encik Zaf minta encik tunggu sekejap. Dia tengah berbual telefon.”
Najman melepaskan keluhan kecil. Sebelum ini Najman main redah sahaja jika ingin masuk ke bilik abangnya. Tapi sekarang Abang Zaf dah ada ‘bodyguard’ yang skema.
“Encik? Encik dengar tak saya cakap apa?” tanya Dahlia lagi. Mana tidaknya? Lelaki di hadapannya ini tiba-tiba diam dan termenung.
“Dengar. Kalau macam tu, saya datang sekejap lagilah.” Najman terus memusingkan tubuh dan ingin berlalu pergi.
Err… boleh saya tahu nama encik? Nanti senang sikit saya nak bagitahu kalau Encik Zaf tanya siapa yang nak jumpa dia.”
Tidak jadi meneruskan langkah, Najman kembali memusingkan tubuh lalu memandang seraut wajah Dahlia. Sekali lagi anak mata Najman singgah pada senyuman pada bibir itu. “Kenapa senyum macam tu?” tanya Najman dengan nada tidak berpuas hati.
“Hah? Senyum? Err… bukan! Saya tanya nama encik siapa. Bukan saya suruh tanya pasal saya senyum ke apa?” Kalut Dahlia mahu menjawab. Mujurlah pandai ‘cover’ balik. Orang tanya soalan lain, dia jawab soalan lain pula?
“Awak tak jawab soalan saya. Kenapa awak senyum macam tu?” Sekali lagi Najman mengulang soalan yang sama.
Dahlia menghela nafas panjang. Kemudian, senyuman kecil diukirkan lagi. Aku bukan saja nak menggatal, tau? “Senyuman tu kan satu sedekah, encik. Pagi-pagi macam ni, kalau tersenyum macam saya ni bukan saja dapat pahala. Tapi boleh buat orang yang pandang senyuman saya ni ikut tersenyum sama.”
Najman mencebik. “Lepas ni jangan senyum macam tu lagi depan saya. Saya tak suka. Kalau boleh depan orang lain pun tak payah nak menggedik senyum macam tu.”
“Eh?” Apa ke pelik mamat ni? Memang pelik pun. Hari tu buat perangai pelik dalam bilik temuduga. Hari ini buat perangai pelik kat sini pula. Senyum pun salah?
So, awak tanya apa tadi? Boleh ulang sekali lagi?”
Dahlia memandang wajah itu sekejap. Oh, pekak rupanya? Ataupun ingatan lemah. Sebab tu kena ulang banyak kali.
“Saya tanya nama encik. Nanti senang nak bagitahu Encik Zaf. Hmm, balik rumah nanti, encik jangan lupa korek telinga, tau?” Selamba sahaja Dahlia mengutuk. Tahukah Dahlia dengan siapa dia sedang bercakap sekarang ini?
“Kau ingat aku pekak ke?”
Hah, kan tak pasal-pasal ber‘aku’, ‘kau’! Sudahlah main jerkah saja. Telinga Dahlia bukannya pekak macam telinga dia!
“Saya tak cakap macam tu pun.” Sambil menikus Dahlia menjawab. Perlahan sahaja suaranya kerana bimbang akan menaikkan amarah lelaki itu lagi.
“Kalau nak tahu nama aku, cari sendiri. Kau ada mulut, kan? Tanyalah orang. Babai!”
Dahlia hanya memandang langkah lelaki itu sambil menjungkitkan bahunya. Apa mahal sangat ke nama dia? Susah sangat nak bagitahu. Macamlah dia tu bos!
Eh, tapi kalau dia bukan bos, boleh jadi panel temuduga ke?
Eleh, dia pun gantikan Encik Zaf saja. Nama yang tertera di meja ketika temuduga dulu adalah nama Encik Zaf. Sebenarnya, siapa nama mamat tu tadi? Adik Encik Zaf ke?
Dahlia melepaskan keluhan kecil sebelum melabuhkan duduk di atas kerusi semula. Baik sambung kerja daripada memikirkan pasal ‘mamat tiga suku’ tu.



EMIR mengukirkan senyuman kecil. Dari dinding kaca biliknya, dia nampak perbualan Dahlia dan Najman sebentar tadi. Lagi pula meja Dahlia cuma beberapa meter dari biliknya. Memang boleh nampak dengan jelas.
Sebenarnya, Emir juga baru tahu bahawa Dahlia adalah PA Encik Zaf yang baru. Gadis yang mereka temuduga bulan lepas. Gadis yang berani mengutuk Najman.
Kalau ingat balik kejadian hari tu, rasa macam nak gelak sampai tergolek-golek. Dahlia tu nampak saja lembut, tapi berani juga.
Anak mata Emir mengekor langkah Najman yang menyapa Kak Syima sebelum menapak masuk ke dalam biliknya.
Emir senyum. Langkah sahabatnya dipandang sehingga betul-betul berdiri di hadapannya.
“Kenapa muka cemberut sangat ni? Ada yang tak kena?” Sengaja Emir menyoal. Padahal Emir sudah nampak apa yang berlaku sebentar tadi. Cuma tidak dapat mendengar apa yang mereka bualkan.
“Aku bengang betullah dengan PA Abang Zaf tu,” luah Najman sambil menghempas duduk di atas kerusi yang berhadapan dengan meja Emir.
“Apasal pula ni? Tapi perempuan tu yang kita interview hari tu, kan?” tanya Emir bersama senyuman di bibir.
Hmm, memang pun. Kaulah! Kenapa kau bagi dia markah banyak?”
“Dah dia memang layak. Kau saja yang tanya soalan pelik-pelik. Hah, cakap pasal tu, dari hari temuduga tu lagi aku nak tanya kau satu soalan. Apasal kau hentam dia dengan soalan pelik-pelik, eh? Pada calon lain tak ada pula.”
“Dia kan calon yang kedua terakhir. Aku saja buang masa sikit sebab tak nak turun site dengan papa dan Abang Zaf.”
Emir ketawa sambil menggelengkan kepala perlahan. “Kau ni Man, macam budak-budak. Habis tu, yang calon terakhir tu tak ada pula kau hentam macam tu.”
“Entahlah. Sebab Dahlia tu cantik kut. Kau ingat tak masa mula-mula dia masuk bilik temuduga tu. Dia senyum. Alahai, terpegun aku sekejap. Senyuman dia tu memukau sungguh.”
Emir mencebik. Oh, rupa-rupanya anak ‘bos besar’ ini sudah terjatuh hati dengan senyuman seorang perempuan?
“Kau seorang saja yang pandang dia macam tu. Jangan-jangan, kau dah jatuh cinta pada pandangan pertama tak?” usik Emir lagi.
   “Nonsense! Yang kau dan Faizal gelakkan aku sungguh-sungguh tu kenapa? Nasib baiklah Encik Aril pandai ‘cover’ balik. Kalau tak, malu setahunlah aku jawabnya!”
“Kelakar! Tak pasal-pasal dapat sepuluh anak kucing dengan penyakit darah tinggi.”
“Sebutlah lagi pasal tu kalau nak kena sekeh kepala?!” marah Najman sambil merenung tajam seraut wajah sahabatnya.
Sudahnya, Emir diam. Tak naklah mengusik pasal tu lagi.
Haih, nasib kaulah Man! Nanti hari-hari kau akan jumpa Dahlia. Lagipun, hari-hari kau suka melepak kat bilik Encik Zaf. Manalah tahu berjodoh dengan Dahlia bila asyik bertentang mata setiap hari. Aku sokong, Man. Lagipun, Kak Syima ada cakap yang Dahlia tu baik. Untunglah!

#UnedditedVersion

No comments:

Post a Comment