Friday, May 5, 2017

Mencintai Satu Nama 7


BAB 7

PEJAM celik, pejam celik, sudah lebih tiga bulan Dahlia bekerja di sini. Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik-baik sahaja. Dan Dahlia sendiri sudah mula selesa dengan kerja-kerja yang dilakukan.
Dahlia beruntung sebab dapat bos macam Encik Zaf. Tidak banyak kerenah dan banyak membantu Dahlia dalam menyelesaikan tugasannya.
Dalam banyak-banyak hal, satu perkara sahaja yang Dahlia tidak suka. Siapa lagi kalau bukan Najman, adik Encik Zaf tu.
Sepanjang tiga bulan ini juga, setiap hari Dahlia dan Najman asyik berperang mulut setiap kali bertemu. Ada sahaja yang hendak digaduhkan. Sampai Encik Zaf pun naik pening dengan kerenah mereka berdua.
“Apa encik, encik? Aku bukan bos kaulah!”
Kerana ucapan itulah, Dahlia tidak lagi memanggil lelaki itu dengan gelaran ‘encik’ kita mereka hanya berdua sahaja. Siap ber‘aku’ dan ‘kau’ lagi. Parah betul!
Kalau ada orang lain yang dengar, tidak ke pelik? Tapi bagi Kak Syima pula, itu adalah perkara yang biasa. Dia sudah lali untuk mendengar perkataan ‘aku’ dan ‘kau’ itu.
Entah apa yang dimarahkan sangat oleh lelaki itu, Dahlia memang tidak tahu. Apa yang pasti, memang ada saja yang tidak kena jika mereka bersua muka.
“Hoi, cik kak! Pagi-pagi dah termenung?” tegur Kak Syima yang sudah bertenggek di hadapan meja Dahlia.
Dahlia mendongak lalu menghulurkan senyuman. Satu-satunya kawan baik Dahlia kat pejabat ini adalah Kak Syima. Lagipun meja mereka dekat. Senang nak berborak atau bertanya apa-apa.
“Bukan termenunglah, kak. Tengah berfikir ni.”
“Fikir? Pasal apa? Sampai di pejabat terus fikir pasal kerja ke?”
“Mestilah, kak. Itu memang kerja saya, kan? Akak dah makan ke?” Dahlia sengaja mengalihkan topik perbualan. Nanti banyak pula soalan Kak Syima ni!
“Dah. Akak dah makan kat rumah lagi. Eh, Encik Zaf mana? Tak nampak pun dia pagi ni? Cuti ke?”
“Encik Zaf masuk lambat. Katanya kena hantar adik dia ke universiti. Kereta adik dia rosak.”
“Oh, macam tu ke?” Kak Syima mengangguk kecil.
Kemudian, ulas bibir Kak Syima menguntumkan senyuman kepada Dahlia. Dahlia cuma mengerutkan dahi sambil menjungkitkan kening sebagai pertanyaan.
‘Apasal? Kenapa buat muka menyeringai macam tu?’ tanya Dahlia hanya di dalam hati.
“Dahlia… Encik Zaf tu baik, kan? Untung Dahlia dapat bos macam Encik Zaf,” ujar Kak Syima sambil tersengih-sengih.
Dahlia mengukirkan senyuman kecil. Hmm, memang beruntung sangat. “Ya, dia memang baik. Terlebih baik pun iya juga. Encik Emir pun okey kan, kak? Sama baiknya macam Encik Zaf.”
Hmm, Encik Emir tu kawan baik Encik Najman dan Encik Zaf. Jika dibandingkan tiga sahabat tu, bos akak paling baik sekali.” Kak Syima melepaskan ketawa kecil.
Dahlia senyum sambil mengangguk kecil. Betullah tu. Apa yang Kak Syima cakap tu memang betul. Encik Emir memang baik orangnya.
“Dahlia… Encik Zaf tu memang sesuai sangat dijadikan calon suami, kan?”
Dahlia terus mengangkat wajah. Sepasang anak matanya merenung seraut wajah Kak Syima lama. Amboi, kak? Macam tengah mencucuk jarum saja?
“Akak bukan apa, Dahlia. Kadang-kadang akak nampak Dahlia dengan Encik Zaf ni macam serasi sangat. Lagipun, sampai bila nak membujang macam ni, kan?”
Soalan Kak Syima dibalas dengan cebikan. Mulut pula sudah terkumat-kamit mengata Kak Syima secara senyap. Dahlia faham dengan apa yang cuba disampaikan kepadanya.
Mengarut betullah Kak Syima ni. Aku tak akan pernah ada hati dengan Encik Zaf. Sebab aku tahu, Encik Zaf sayangkan cinta pertamanya.
“Kenapa buat muka macam tu? Ingat cantik ke?” tanya Kak Syima sambil menjulingkan anak matanya ke atas.
“Encik Zaf tu memang baik, kak. Tapi dia tak sesuai dengan saya. Kata orang, lain dunia. Kalau saya dan dia bercinta, alamatnya ibarat langit dan bumilah. Akak tak kesiankan saya ke kalau pengakhirannya menjadi seperti kisah The Little Mermaid. Kesudahannya ke laut juga.”
“Eh, sampai macam tu sekali ke? Tak mungkinlah. Lagipun Encik Zaf tu tak pernah membeza-bezakan pangkat dan harta yang dia ada dengan sesiapa pun. Akak rasa, kalau dia bercinta pun, dia tak akan pandang pangkat dan harta.”
Terdiam Dahlia sejenak sebaik sahaja mendengar kata-kata Kak Syima. Ya, Encik Zaf bukan seorang lelaki yang memandang pangkat dan harta seseorang untuk berkawan. Dahlia memang tahu tentang itu.
Seraut wajah Kak Syima dipandang lama. Kak Syima banyak tahu tentang Encik Zaf. Kalau Dahlia tanya Kak Syima tentang sesuatu, agak-agak Kak Syima tahu tak?
“Akak… saya nak tanya akak sesuatu boleh tak?” Akhirnya soalan itu diutarakan juga. Perasaan ingin tahu sudah lama dipendamkan. Lebih baik Dahlia bertanya daripada tak tahu apa-apa.
“Nak tanya apa?” tanya Kak Syima sambil mengerutkan dahi.
Err… Encik Zaf tu dah ada yang punya ke?”
Kak Syima terus tersengih lebar apabila mendengar soalannya. Tak lain tak bukanlah tu! Mesti tengah mengutuk aku di dalam hati.
Tak mengapalah! Kutuklah, akak. Saya memang nak tahu pasal Encik Zaf. Jadi, saya tak kisah pun kalau akak sedang kutuk saya di dalam hati.
“Setahu akak tak ada lagi. Masih ada kosong empat tempat. Kalau Dahlia berminat, bolehlah isi salah satu tempat kosong tu.”
“Ke situ pula akak ni! Saya cuma pelik. Dia kan kacak. Kalau sekali pandang macam pelakon. Dua kali pandang tak pula. Mustahil orang kacak macam tu tak ada girlfriend.”
“Entahlah, Dahlia. Tapi akak pernah dengar Encik Emir bercakap dengan Encik Najman pasal Encik Zaf.”
“Pasal Encik Zaf?” ulang Dahlia semula. Tiba-tiba sahaja hatinya seperti tidak sabar untuk mendengar penjelasan selanjutnya. Ya, Dahlia memang ingin tahu semua perkara mengenai Encik Zaf.
Laju Kak Syima mengangguk. “Kalau akak bagitahu, Dahlia jangan pula bercerita dengan sesiapa, ya? Sebab akak pun memang simpan semua ini seorang diri. Tapi sebab Dahlia, akak akan ceritakan rahsia ni.”
Dahlia cuma mengangguk.
“Suatu ketika dahulu Encik Zaf pernah sukakan seseorang. Tetapi tak tahu pula apa sebab Encik Zaf lari sampai ke Ireland. Lepas tu, Encik Zaf dah tak jumpa perempuan tu lagi. Itu saja yang akak tahu,” sambung Kak Syima lagi.
Dahlia terdiam sejenak. Cerita Kak Syima ni sikit sangat. Tak boleh nak korek lebih banyak. Kak Min… jangan risau, Lia akan korek sampai Lia jumpa jawapannya.
“Eh, Dahlia! Akak nak balik ke meja. Tu, buah hati pengarang jantung Dahlia dah sampai. Malaslah akak nak tengok muka kerek dia tu.” Sempat Kak Syima memerli sebelum mengorak langkah ke mejanya semula.
Berkerut dahi Dahlia. Buah hati pengarang jantung? Muka kerek? Siapa?
Selang beberapa saat, Dahlia mengalihkan pandangan ke arah jelingan mata Kak Syima. Keluhan panjang dilepaskan apabila melihat langkah seorang lelaki yang sedang melangkah laju ke meja Dahlia.
Kali ini apa lagi yang dia tak puas hati? Sekejap nanti adalah tu perkara yang akan digaduhkan dengan Dahlia. Tak percaya, tengoklah nanti!
“Abang Zaf mana? Tak masuk lagi ke?”
Tanpa salam atau senyuman, soalan dingin itu dipersoalkan kepada Dahlia. Dahlia mencebik kecil. “Tinggal satu rumah pun tak tahu ke?”
“Eh, hello? Aku tak tinggal satu rumah dengan dialah. Malam tadi dia balik ke rumah famili aku.”
“Tak tanya pun?” perli Dahlia bersama nada suara yang dingin juga.
“Memanglah kau tak tanya. Tapi aku nak bagitahu juga supaya nanti kau tak cakap aku dan dia tinggal satu rumah lagi. Abang Zaf mana?”
“Tak masuk lagi. Dia…” Belum sempat Dahlia menghabiskan ayatnya, lelaki di hadapannya terus menyampuk.
“Dia pergi ke mana? Dah pukul berapa ni?”
Dahlia mengeluh kecil. Kalau menyampuk tu memang Dahlia tidak kisah. Tapi kalau menyampuk bersama nada amarah tu, Dahlia memang tak suka. Kalau nak hemburkan amarah, pergilah marah Encik Zaf. Marah aku buat apa?
“Kenapa awak tak whatsApp dia saja? Buat apa ada handphone canggih kalau tak guna?” perli Dahlia bersama riak muka menyampah.
“Menyibuk! Suka hati akulah!”
“Encik Zaf masuk lambat sebab hantar Haina ke universiti.” Dahlia memilih untuk berterus-terang. Malas sungguh mahu mendengar leteran lelaki ini lagi.
Kali ini lelaki itu mengangguk perlahan. Jangan-jangan Encik Zaf memang dah bagitahu dia tak? Saja buat-buat lupa ke?
Selang beberapa saat, lelaki itu masih lagi berdiri di hadapan meja Dahlia. Dahlia pula cuma diam. Malas mahu berkata-kata sekiranya berkata-kata itu hanya akan membangkitkan kemarahan lelaki ini.
“Hari ni kau bawa bekal apa, Dahlia?” tanya Najman sambil memandang seraut wajah Dahlia. Suaranya juga sudah kedengaran mendatar. Tidak lagi bersuara dengan nada amarah seperti tadi.
Dahlia mendongak sebelum mengecilkan anak matanya ke arah Najman. Pandangan mata mereka bersabung untuk beberapa detik.
Aku ke dia yang suka menyibuk? Bukan dia ke yang suka sangat menyibuk tanya aku bawa bekal apa? Hari-hari soalan yang sama saja! Tak jemu agaknya?
“Tak bawa apa-apa,” jawab Dahlia malas.
“Kenapa?” tanya Najman sepatah.
“Malas.”
Kali ini Najman memandang Dahlia sambil mengecilkan anak matanya. Riak wajah Dahlia jelas menunjukkan bahawa dia malas mahu melayan perbualannya.
“Kau ni kan, aku tanya elok-elok, macam tu jawapan kau?” marah Najman pula.
“Suka hati akulah!” Sakit hati mendengar lelaki itu ber‘aku’ dan ‘kau’, Dahlia turut menjawab dengan kata ganti nama ‘aku’.
Najman melangkah setapak ke hadapan sambil anak matanya merenung tajam sepasang anak mata Dahlia. “Berani kau ber‘aku’ dengan anak bos, kan? Kau ingat…”
“Kau tu yang mula dulu! Kalau kau tak mulakan, aku juga tak akan mulakan!” Dahlia terus memintas kata-kata Najman. Makin dibiarkan, makin menjadi-jadi lelaki ini.
“Hoi, mak cik! Kalau satu hari kau tak menyakitkan hati aku tak boleh ke?” tanya Najman dengan nada dingin.
“Siapa yang sakitkan hati siapa? Kau tu yang…”
“Dahlia… Man…”
Terhenti bait kata Dahlia apabila ditegur oleh seseorang dari sisi kanannya. Serentak itu dia menoleh ke arah suara yang menegur. Sudah tentulah Dahlia kenal suara siapa yang menegur itu. Setiap hari Dahlia mendengar suara yang sama.
Dahlia mengetap bibir perlahan. Alamak, kantoi lagi! Bila masa pula Encik Zaf muncul ni? Tak perasan pun? Habislah, sekejap nanti mesti kena marah lagi!
Najman pula menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sempat anak mata Dahlia memandang jelingan dari ekor mata lelaki itu.
Sebenarnya, sudah beberapa kali Encik Zaf menegur perkara yang sama. Tetapi Najman dan Dahlia masing-masing masih berdegil, dan masih juga ber‘aku’, ‘kau’.
“Dah habis bergaduh? Kalau dah habis, dua-dua masuk ke bilik abang sekejap. Abang nak cakap sikit,” sinis Zafiy sebelum melangkah masuk ke bilik pejabatnya.
Dingin suara itu membuatkan Dahlia kecut perut. Sudah! Dah tentu kena marah sekejap lagi. Anak mata Dahlia hanya mampu memandang langkah bosnya sehingga menghilang ke dalam bilik.
“Kaulah ni! Tengok? Kan dah kantoi lagi dengan Abang Zaf!”
Tersentak Dahlia dibuatnya. Tiba-tiba sahaja satu fail setebal satu inci dihempap ke bahunya. Sakit! Laju kepala ditoleh ke sisi. Turun naik nafasnya menahan amarah yang membara di dalam dada. Sesuka hati dia saja, kan?
“Aku pula? Kau tu yang…”
Belum sempat Dahlia menghabiskan ayatnya, lelaki terus melangkah meninggalkan meja Dahlia. Huh, sakitnya hati! Kalaulah kat sini bukan pejabat, nak saja Dahlia sepak kaki lelaki itu sampai patah. Biar tak boleh berjalan terus.
Sudahnya, Dahlia turut mengatur langkah ke bilik bosnya. Hesy, sabar sajalah dengan perangai manusia yang seorang ni!



KECUT perut Dahlia memandang wajah bosnya yang nampak sangat dingin. Anak mata lelaki itu silih berganti memandang wajah Dahlia dan adiknya, seperti tidak berpuas hati.
“‘Awak’ dan ‘saya’, Man. Abang tak nak Man bercakap ‘aku’ dan ‘kau’ dengan Dahlia. Dahlia pun sama. Guna panggilan ‘awak’ dan ‘saya’. Bukan ‘aku’ dan ‘kau’.”
Serentak Najman dan Dahlia berpandangan di antara satu sama lain. Kemudian masing-masing saling mencebik dan menjulingkan anak mata.
“Mulai hari ni, abang tak nak Man ataupun Dahlia ber‘aku’ dan ‘kau’ bila bercakap. Gunalah panggilan yang baik-baik sikit. ‘Saya’ dan ‘awak’ tu kan okey. Kenapa nak guna juga perkataan ‘aku’ dan ‘kau’?”
Dahlia mengukirkan senyuman kecil. Patah kata Encik Zaf seperti membuai-buai perasaan Dahlia. Rasa bahagia kerana Encik Zaf menggunakan panggilan ‘abang’ apabila bercakap di hadapan Dahlia.
Kan best kalau Encik Zaf ni betul-betul jadi abang Dahlia. Bolehlah Dahlia nak mengada-ngada sikit.
Kak Min… Dahlia dah dapat abang Dahlia balik. Dahlia suka sangat, Kak Min. Kalaulah Kak Min ada kat sini sekali, mesti Kak Min adalah orang yang paling gembira, kan?
“Dahlia… ooo Dahlia? Dengar ke tidak?” panggil Zafiy lagi.
Terkebil-kebil sepasang anak mata Dahlia memandang dua wajah di hadapannya. Liur diteguk bagaikan tersekat pada kerongkong. Panahan mata kedua-dua mereka seolah-olah ingin menelan Dahlia hidup-hidup.
Haih, aku ni pun satulah! Orang tengah marah, aku sengih pula? Memanglah semakin menimbulkan kemarahan dia.
Err… ya, dengar Abang Zaf.” Kelam-kabut Dahlia menjawab sampai tersasul menyebut nama bosnya.
Eh, Abang Zaf? Kau gila ke Dahlia?
Kedua-dua Najman dan Encik Zaf nampak terkejut apabila Dahlia tersasul begitu. Laju tapak tangan kanan Dahlia naik ke mulut sambil menutup mulut sendiri.
Sudahnya, Dahlia berdehem perlahan sebelum kembali mengatur bicara. “Err… maksud saya, Encik Zaf. Maaf, tersasul pula.” Sempat dia menyeringai sebelum menepuk dahi perlahan.
Dah kenapa dengan kau ni, Dahlia?
“Berangan! Kau berangan nak kahwin dengan Abang Zaf ke?” tanya Najman dengan nada marah.
Terhenjut bahu Dahlia apabila mendengar suara petir milik Najman. Tajam sepasang anak matanya menikam seraut wajah lelaki itu.
Apa dia ingat aku pekak ke? Bercakap elok-elok tak boleh ke? Encik Zaf pun tak pernah meninggikan suara pada aku sampai macam ni sekali, tau?
Tapi, kan…
Dahlia memandang wajah Najman lagi. Jelas air muka Najman berubah apabila mendengar perkataan ‘Abang Zaf’ yang Dahlia sebut sebentar tadi. Kenapa, ya?
“Suka hatilah! Menyibuk saja kau ni,” gumam Dahlia perlahan.
“Man… Dahlia… ber‘aku’, ‘kau’ lagi? Kalau tak nak dengar cakap abang, sila keluar dari bilik ni sekarang juga. Ini bukan kali pertama abang tegur Man dan Dahlia. Dah banyak kali. Jangan sampai kesabaran abang meruntuh pula.”
Dahlia terus menikus. Tidak berani lagi bersuara setelah amaran lelaki di hadapannya ini berulang lagi. Siap menyebut tentang kesabaran lagi.
Encik Zaf ni susah nak marah. Tapi kalau sekali marah, boleh sunyi sepi bilik ini dibuatnya. Menyeramkan!
Najman menekur lantai. Mungkin juga terkesan dengan baris ayat yang baru sahaja menyapa telinganya.
“Saya bukan apa, Dahlia. Tak elok kalau staf lain tengok awak dan Najman asyik bergaduh saja. Man pun satulah! Tak boleh ke mengalah sikit dengan Dahlia?”
Najman mengangkat wajah. Namun, wajahnya seolah-olah tidak berpuas hati pabila abangnya menyalahkan dirinya. “Man pula yang kena mengalah? Bukan Man yang mulakan. Tapi Dahlia yang…”
Again?!” soal Encik Zaf sepatah.
Dan soalan itu terus mematikan bait kata yang masih ingin dituturkan oleh Najman.
Dahlia menyimpan senyum apabila melihat lelaki itu kembali terdiam. Huh, tahu pula nak diam? Kalau tak, dia saja yang nak menang. Salah aku semuanya!
“Yalah! Yalah! Kali ni Man mengalah. Bukan sebab Dahlia, tau? Sebab Man hormatkan Abang Zaf sebagai ‘abang’ dan ‘bos’ kat sini.”
Dahlia menoleh pandang ke arah Najman. Benar telahan hatinya. Lelaki itu sedang memandang Dahlia bersama satu pandangan yang cukup tajam. Macam nak tembus wajah Dahlia ditenungnya.
Sudahnya, Dahlia turut mengalah. Tidak mahu lagi menimbulkan kemarahan ‘Abang Zaf’ lagi. “Saya minta maaf, Encik Zaf. Err… Encik Najman, saya pun…”
Hesy, malasnya nak sebut perkataan ‘maaf’ depan ‘mamat senget’ ni!
“… saya pun nak minta maaf dengan Encik Najman. Lepas ni saya tak akan bergaduh lagi dengan Encik Najman,” sambung Dahlia setelah terdiam beberapa detik.
“Saya maafkan awak, Dahlia. Dan saya pun nak awak maafkan saya juga.”
“Ya, saya maafkan awak juga.”
Perkataan maaf saling terucap di bibir. Tetapi Dahlia masih lagi tidak berpuas hati. Dahlia nampak Najman seperti tersenyum kemenangan setelah Dahlia meminta maaf terlebih dahlu. Padahal, semuanya berpunca daripada Najman. Bukan Dahlia!
“Baiklah, kalau dah saling memaafkan macam ni, saya pun dah maafkan awak, Dahlia. Dan abang pun maafkan Man juga. Sekarang ni bolehlah sambung kerja balik.”
Lega hati Dahlia apabila melihat riak wajah Encik Zaf tidak lagi tegang seperti tadi. Kali ini nada suaranya juga sudah kedengaran seperti biasa.
Dahlia mengukirkan senyuman kecil. Senyuman khas buat Encik Zaf yang telah sudi memaafkan dirinya. “Terima kasih, Encik Zaf. Saya pergi sambung kerja dulu.” Malas mahu berlama-lama di situ, Dahlia terus meminta diri.
Dari ekor matanya, Dahlia nampak riak wajah Najman yang mencebik ke arahnya. Mungkin tidak berpuas hati apabila Dahlia hanya menghulur senyum kepada Encik Zaf. Apabila memandang Najman, Dahlia cuma menghantar jelingan tidak berpuas hati.
Biarlah! Biar Najman tahu yang Dahlia memang tidak berpuas hati dengan dirinya!



PETANG itu, Dahlia agak sibuk dengan tugasan hariannya. Berulang-alik dari tingkat atas dan bawah. Beginilah selalunya nasib Dahlia apabila Fatin bercuti.
Kebelakangan ini Fatin akan lebih kerap cuti untuk menguruskan hal perkahwinannya yang bakal berlangsung bulan depan. Dan bos yang kat bawah tu memang sibuk mengambil kesempatan untuk menyuruh Dahlia melakukan kerja itu dan ini.
Baru sahaja Dahlia ingin melepaskan penat dan menyandarkan tubuh di kerusinya, telefon di atas mejanya berbunyi lagi. Dan Dahlia sudah dapat mengagak gerangan yang menelefonnya kali ini.
Kali ini apa lagi?
Dengan seribu perasaan malas, Dahlia menjawab juga panggilan itu. “Ya, Encik Najman? Ada apa lagi yang boleh saya bantu?”
“Baguslah kalau dah kenal suara aku. Aku suka…”
“Aku lagi? Nak kena hempuk agaknya? ‘Saya’ dan ‘awak’! Tak faham ke?” marah Dahlia dengan nada yang sedikit kuat.
Selepas ditegur oleh Encik Zaf pagi tadi, Dahlia cuba tidak menyebut perkataan ‘aku’ dan ‘kau’ lagi. Tetapi Najman ni degil sungguh! Payah nak dengar arahan agaknya? Yang buat Dahlia geram sangat, bukan sahaja Najman yang akan dimarahi Encik Zaf. Tetapi Dahlia juga akan terkena tempiasnya.
Errsorry! Dahlia, saya nak minta awak temankan saya pergi site petang nanti boleh tak?” Najman membetulkan ayatnya sebelum berbalik kepada soalan yang asal.
“Hah? Pergi site? Kenapa saya pula? Itu bukan kerja sayalah, Encik Najman,” keluh Dahlia bersama suara yang tidak bermaya.
Sungguh, Dahlia penat! Penat melakukan tugas-tugas yang sepatutnya bukan kerja Dahlia. Nampaknya, Najman betul-betul menggunakan kesempatan yang diberi oleh Encik Zaf. Yang menjadi mangsanya bukan Encik Zaf. Tetapi Dahlia!
Please Dahlia…”
“Tak naklah. Awak ajaklah orang lain.”
“Masalahnya memang dah tak ada orang lain lagi. Kalau Fatin cuti, awak seorang saja yang boleh tolong saya. Bolehlah Dahlia, ya?” pujuk Najman lagi.
Dahlia menghelakan nafas panjang. Penat sungguh hari ini. Penat melayan kerenah ‘anak bos’ yang seorang ini. Mentang-mentang dia juga bos, sesuka hati dia saja mengarah Dahlia, kan?
“Tengoklah dulu macam mana. Tapi awak kena tanya bos saya dulu. Kalau bos saya izinkan, saya pergi. Kalau tak izinkan, memang taklah.”
“Sebenarnya, saya dah minta izin dengan Abang Zaf tadi. Dia izinkan. Kalau awak tak percaya, pergilah tanya dia sendiri. Lima minit lagi, awak turun. Saya tunggu kat lobi. Thanks, Dahlia.”
Dahlia melepaskan keluhan panjang sebelum mematika talian.
Ya, akal lelaki ini sudah tentu lebih bijak berbanding Dahlia. Sebab itulah awal-awal lagi dia sudah meminta kebenaran Encik Zaf.
Encik Zaf pula tak kesiankan Dahlia ke? Sampai hati Encik Zaf biarkan saja adiknya membuli Dahlia pada hari ini. Padahal, kerja Dahlia pun masih berlambak lagi.
Tapi nak buat macam mana? Makan gaji kat syarikat famili mereka. Mahu atau tak, terpaksa turutkan juga!

#UnedditedVersion

No comments:

Post a Comment