Friday, May 5, 2017

Mencintai Satu Nama 8


BAB 8

DAHLIA mendongakkan kepala ke arah bangunan yang masih belum siap di hadapannya. Oh, projek besar rupanya! Patutlah ‘bos besar’ sendiri yang handle.
Tetapi yang menjadi kemusykilan, Dato’ Azman suka mengarahkan anak-anaknya. Kalau arahkan dari awal tak mengapalah. Ini dah minit akhir barulah diserahkan kepada anak-anaknya.
Timbul rasa kesian juga di hati Dahlia apabila melihat Najman dan Encik Zaf yang terpaksa bertungkus-lumus untuk menyudahkan kerja-kerja terbengkalai.
Ralit memerhati sekeliling, tanpa sedar sekujur tubuh seorang lelaki sudah berdiri di hadapannya. Bulat anak mata Dahlia memandang seraut wajah yang sudah mengukirkan senyuman lesung pipitnya.
Dah kenapa pula tersenyum-senyum macam ni?
Wah, untunglah Dahlia dapat tengok senyuman lelaki ini. Selalunya, senyuman lelaki ini memang mahal sangat. Tetapi kali ini senyuman dia disertai lesung pipit yang menambahkan lagi kekacakannya.
Fuh, kalaulah aku ni jenis yang cepat cair, tentu dah cair macam lilin sekarang ni. Tapi, maaflah! Nur Dahlia bukan begitu perangainya.
Dahlia menjungkitkan kening sebagai pertanyaan senyap. Namun, lelaki itu tetap memandangnya bersama senyuman yang masih lagi menghiasi wajah.
Bukannya Dahlia tidak perasan, sejak dari dalam kereta tadi lelaki ini asyik sibuk mencuri pandang ke arahnya.
Kenapa? Itu Dahlia tak pasti. Tetapi riak wajah lelaki ini seperti kesiankan Dahlia. Mungkin sebab terpaksa mengheret Dahlia ke kawasan seperti ini. Betul ke? Orang macam dia ni ada perasaan kesian ke?
Selang beberapa minit, lelaki di hadapannya mara setapak ke hadapan, berdiri lebih dekat dengan Dahlia. Terkejut monyet Dahlia dibuatnya!
Namun, yang Dahlia mampu buat hanya membulatkan anak mata sambil mengelak daripada bersentuhan dengan sekujur tubuh lelaki itu.
Melihat reaksi wajah Dahlia yang begitu, lelaki itu terus menghemburkan ketawa.
Apasal? Seronok sangat ke dapat mengenakan Dahlia begini?
Tanpa Dahlia sangka, lelaki itu meletakkan topi keselamatan dengan penuh berhati-hati di atas kepala Dahlia.
“Pakai topi ni kalau tak nak cedera.”
Dahlia mencebik apabila mendengar sebaris ayat itu. Tangannya terus naik membetulkan kedudukan topi keselamatan di atas kepala. Main letak saja! Tak boleh agaknya bagi elok-elok?
“Macam mana nak pakai ni?” tanya Dahlia jujur. Ya, Dahlia memang tidak pernah memakai topi keselamatan ini. Topi keledar pun tak pernah pakai. Tak tahu macam mana nak betulkan tali di lehernya.
“Eh, takkanlah tak pandai?”
“Manalah saya pandai! Ini kali pertama saya jejakkan kaki ke tapak projek sepanjang bekerja di syarikat ini. Ya Allah, minta-minta ini kali pertama dan terakhir saya datang ke sini. Aamiin.” Sempat Dahlia menadah tangan lalu mengaminkan doanya.
Melihat telatah Dahlia itu, Najman terus menghemburkan ketawa.
Dahlia mengecilkan anak matanya. Entah apa yang kelakar sangat, memang Dahlia tak tahu.
“Meh sini, biar saya tolong.”
Lelaki itu mara lagi setapak ke hadapan. Berdebar sungguh jantung Dahlia apabila kedudukan mereka terasa rapat walaupun tubuh tidak bersentuhan di antara satu sama lain.
Penuh berhati-hati tangan lelaki itu membetulkan duduk topi keselamatan di atas kepala Dahlia. Kemudian, tangannya mengemaskan ikatan tali di leher Dahlia yang bertudung. Tidak berkelip sepasang anak mata Dahlia memandang wajah di hadapannya.
Wah, dia nampak lebih kacak jika dipandang dengan jarak sedekat ini. Tapi sayang! Orang kacak macam ni pun belum ada girlfriend lagi. Memilih sangat agaknya?
“Elok-eloklah! Nanti habis kemek tudung saya ni!”
“Eleh, kemek sikit pun nak kecoh!” Sempat Najman mengetuk perlahan kepala Dahlia setelah kedudukan topi keselematan itu nampak sudah elok.
Diikutkan hati, mahu sahaja Dahlia mengetuk kepala lelaki itu juga. Tetapi Dahlia malas mahu berbalah lagi.
Sepuluh minit sudah berlalu. Kali ini Dahlia menjadi pemerhati kepada pemilik sekujur tubuh tegap itu. Geram sungguh hatinya! Sebenarnya Najman menyuruh Dahlia datang ke sini bukan untuk membuat kerja. Tetapi membiarkan sahaja Dahlia melangut macam tunggul kayu.
“Habis tu saya nak buat apa ni?”
“Duduk, dan temankan saya buat kerja. Itu saja.”
Oh, jawapan itu memang tak boleh blah! Najman cuma nak Dahlia temankan dia sahaja. Mengada-ngada sungguh! Kalau macam tu, baik tak payah ajak Dahlia ke sini. Membazir masa sahaja!
Puas mengekor langkah lelaki itu tanpa berbuat apa-apa, Dahlia memilih untuk merayau-rayau di sekitar kawasan itu bersendirian. Jika berjalan sendiri seperti ini, rasanya Dahlia tidaklah kekok sangat.
Buang masa betullah! Kalaulah Dahlia tahu Najman hanya meminta Dahlia temankan dia, sudah tentu awal-awal lagi Dahlia akan menolak ajakkan lelaki itu.
Puas merayau-rayau, Dahlia melabuhkan duduk di bawah sepohon pokok rendang. Ada bangku di situ. Bolehlah Dahlia duduk sementara menanti Najman menyudahkan kerja-kerjanya.
Dari bawah pokok itu, Dahlia memerhatikan kelibat Najman yang sedang tekun bekerja. Perlahan, senyuman mula terukir pada wajahnya.
Najman dan Encik Zaf sama sahaja. Dua-dua kalau buat kerja memang serius. Tak makan pun tak apa. Asalkan semua kerja selesai.
Patutlah Najman asyik mengelak saja apabila disuruh ke tapak projek. Memang memenatkan! Apatah lagi dengan cuaca yang panas terik seperti hari ini.
Tengok tu! Muka dia dah merah padam macam udang kena bakar. Lengan baju sudah disingsing sampai ke siku. Belakang baju pula basah dengan peluh. Itu Najman sudah memakai baju dua lapis. Kalau baju satu lapis saja macam mana?
Kesian sungguh!



SAMBIL melakukan kerjanya, sambil itulah anak mata Najman menjeling pandang ke arah Dahlia yang sedang duduk di bawah pokok rendang. Najman tahu, Dahlia juga kerap kali menjeling pandang ke arahnya. Beberapa kali juga anak mata mereka bertemu pandang dan ulas bibir mereka saling membalas senyuman.
Usai menyiapkan sebahagian kerjanya, Najman berdiri di tepi bangunan sambil anak matanya mencuri pandang ke arah Dahlia.
Hari ini, taman hati Najman dipenuhi dengan bunga-bunga bahagia. Bertaburan bunga-bunga bahagia itu mekar indah di taman hati Najman. Apatah lagi apabila melihat senyuman demi senyuman yang dihulurkan oleh Dahlia. Indah sungguh perasaan begini. Hanya Tuhan sahaja Yang Maha Mengetahui.
Melihat senyuman manis Dahlia, otak kecil Najman teringatkan detik pertemuan kali pertama dengan gadis ayu itu. Kerana senyuman manis itu juga hati Najman diusik dengan perasaan pelik yang belum pernah dirasainya sebelum ini.
Dahlia… saya sudah mula jatuh suka pada awak di saat kali pertama memandang senyuman manis awak. Dan sepasang mata bulat awak pula terus terpanah tepat ke dalam hati saya sehingga menghadirkan debaran yang tidak menentu.
Malam pertemuan pertama itu, Najman langsung tidak dapat tidur lena. Bayangan wajah Dahlia datang menyendeng silih berganti. Senyuman demi senyuman terlakar indah di hadapan mata. Otak kecil pula tidak berhenti daripada mengimbas semula peristiwa ketika di bilik temuduga.
Dahlia… apakah ini yang dikatakan sebagai cinta pandangan pertama? Benarkah?
Puas merenung seraut wajah manis milik Dahlia, Najman kembali mengatur langkah. Kesian pula membiarkan Dahlia bersendirian lama-lama begini. Sudah tentu Dahlia sedang dilanda kebosanan.
Dek kerana terlalu ralit memerhatikan Dahlia, tanpa sengaja Najman tersepak sebiji batu. Apa lagi? Jatuh tersembam dibuatnya!
Kedua-dua tapak tangan Najman melecet dan berdarah akibat menahan tubuhnya daripada terjatuh ke tanah. Begitu juga dengan seluar di lutut kanan yang terkoyak dan ada kesan darah.
Haih, Najman! Dah angau sangat ke? Sampai tak nampak batu kat depan mata?
Mujurlah Dahlia tidak menoleh ketika Najman terjatuh sebentar tadi. Jika tidak, memang malu bertahun-tahunlah!
Mahu atau tidak, Najman terpaksa meminta pertolongan Dahlia memandangkan mereka hanya berdua sahaja di tempat ini.
“Dahlia…” seru Najman perlahan sahaja.
Tidak lama, Dahlia terus menoleh ke arahnya. Lambat-lambat Najman mengukir senyum kepada gadis yang sedang memandangnya. Serba salah sebenarnya nak minta pertolongan dari Dahlia. Tapi mahu atau tidak, terpaksa juga minta tolong.
“Dah nak balik?”
Pertanyaan Dahlia itu Najman jawab dengan gelengan kepala. Kemudian, dia melabuhkan duduk di sisi Dahlia sebelum kedua-dua tapak tangannya yang melecet ditunjukkan kepada gadis di sisinya.
Mati senyuman Dahlia apabila terpandangkan kedua-dua tapak tangan Najman yang melecet dan berdarah. “Err… kenapa dengan…”
Najman sekadar menjungkitkan kedua-dua belah bahunya. “Boleh tolong ambil first aid dalam kereta saya?”
Tidak menunggu lama, Dahlia terus mengangguk sebelum berlalu ke kereta milik Najman.
Selang beberapa minit, Dahlia kembali semula bersama kotak first aid di tangan. Tanpa disuruh, lincah tangan gadis itu mengeluarkan botol iodin dan segala peralatan untuk mencuci luka di tangan Najman. Lagak macam doktor pula.
Dalam diam, Najman mengukirkan senyuman. Tengok sajalah sikap Dahlia ini. Macam mana Najman tidak terjatuh hati dengan gadis yang baik seperti Dahlia?
Dup dap! Dup dap!
Terasa jantung Najman seperti dipalu dengan kuat sebaik sahaja Dahlia menyentuh belakang tangannya. Padahal, awal-awal lagi gadis itu sudah meletakkan tuala putih di atas tapak tangannya. Mungkin Dahlia juga tidak mahu tangan mereka bersentuhan tanpa lapik.
Raut wajah Dahlia yang tekun membalut tangannya diperhatikan lama. Rupa-rupanya ada hikmah kenapa Allah jatuhkan saya sebentar tadi, Dahlia. Sebenarnya, Allah nak dekatkan lagi hati saya dengan hati awak.
Betul ke macam tu?
Awak ni baik sangat, Dahlia. Walaupun berkali-kali saya cuba menyakiti hati awak, tetapi awak tetap menolong saya dengan seikhlas hati. Dan keikhlasan hati awak itulah yang buat saya terjatuh suka tanpa sengaja.
Apakah suka yang wujud ini adalah cinta, Dahlia?
Dalam diri awak pula ada kasih sayang yang begitu banyak. Kasih sayang yang tidak pernah saya nampak walaupun di dalam keluarga saya sendiri. Dan kasih sayang itu telah menimbulkan perasaan sayang di dalam hati saya.
Adakah saya juga menyayangi awak, Dahlia?
Dahlia… apakah perasaan begini wujud di dalam hati awak juga? Apakah awak juga merasai apa yang saya rasa?
Najman mengukir senyum lagi. Dia nampak Dahlia seperti kekok apabila berada di sisinya dengan jarak dekat begitu. Diamati lagi seraut wajah Dahlia.
Namun, gadis itu seperti menyedari dirinya diperhatikan. Melihat kepala Dahlia seperti ingin menoleh kepadanya, Najman terus melarikan anak matanya. Berpura-pura seolah-olah dia tidak merenung wajah Dahlia sebentar tadi.
Apabila Dahlia memandang semula tangannya, Najman kembali memerhatikan wajah Dahlia. Ingat senang ke nak pandang Dahlia dengan jarak sedekat ini? Gunalah peluang yang terhidang di hadapan mata dengan sebaiknya, Najman.
Najman menyimpan ketawa apabila dahi Dahlia nampak seperti berkerut-kerut. Sudah pasti Dahlia tahu Najman sedang merenung wajahnya. Selang beberapa saat, sekali lagi kepala Dahlia seolah-olah ingin menoleh kepadanya.
Seperti tadi, Najman mengalihkan pandangan matanya, berpura-pura tidak memandang Dahlia. Perkara yang sama berulang lagi. Tetapi masuk kali ketiga, Najman terus tertangkap. Tiba-tiba sahaja Dahlia menoleh laju ke arahnya.
 “Hah, dapat pun! Memang dari tadi lagi awak curi-curi pandang saya, kan?” marah Dahlia sambil mengecilkan anak matanya.
Hampir terhembur keluar ketawa Najman melihat tingkah laku Dahlia seperti itu. Namun, ditahan ketawanya supaya tidak jelas ketara di mata Dahlia.
“Mana ada!” nafi Najman bersama riak wajah serius.
“Tipu!” pintas Dahlia dengan laju.
Sudahnya, tawa Najman tidak dapat ditahan lagi. Habis meletus keluar.
Dahlia pula sedang mengecilkan anak matanya, memandang Najman bersama satu pandangan tidak berpuas hati.
Tetapi Najman pula membalas dengan kenyitan mata yang nakal. Merah padam muka Dahlia apabila Najman mengenyit mata begitu.
Sudahnya, Najman tidak lagi mengusik. Kesian apabila melihat Dahlia seperti diterpa perasaan malu.
“Dahlia…” panggil Najman perlahan.
Langsung Dahlia tidak mengangkat wajahnya sambil jemari halus gadis itu masih menyiapkan balutan terakhir pada tangan Najman.
“Terima kasih, Dahlia.”
Ucapan ikhlas itu menghadirkan senyuman di bibir Dahlia. Dan ketika senyuman itu tergambar jelas pada wajah di hadapannya, hati Najman mula diterpa debar yang deras.
Beginilah selalunya! Najman memang kalah dengan senyuman Dahlia yang begitu. Senyuman ikhlas Dahlia itu jugalah yang selalu mencuit-cuit hati Najman. Menghadirkan perasaan suka dan sayang yang meruap-ruap di hati Najman untuk gadis itu.
“Banyak lagi ke kerja awak yang belum selesai?”
“Dah nak siap. Cuma nak bilang stok untuk kali terakhir.”
Dahlia mengangguk perlahan sambil menyudahkan balutan terakhir. “Boleh ke awak buat kerja dengan tangan macam ni? Saya tolong awak, ya?”
Kali ini Najman juga mengangguk. Najman tahu, dia juga mungkin tidak dapat melakukan kerjanya dengan kedua-dua tapak tangan yang terasa perit ini. “Boleh juga. Cepat sikit siap nanti.”
Dari ekor matanya, Najman dapat melihat Dahlia seperti menghela nafas kelegaan. Mungkin bosan duduk tercongok kat sini sejak tadi.
‘Dahlia… terima kasih juga sebab sudi temankan saya. Terima kasih juga untuk balutan luka di tangan saya ini,’ ucap Najman lagi di dalam hatinya.



NAJMAN mengekori langkah Dahlia sambil mulutnya tidak berhenti-henti bercakap, menerangkan itu dan ini kepada Dahlia. Alhamdulillah, Dahlia jenis yang cepat tangkap dan boleh buat kerja dengan cepat juga.
Dalam diam Najman mengukirkan senyuman kecil. Nasib baiklah Encik Airil pilih Dahlia ketika temuduga. Jika tidak, mungkin peluang begini tidak akan pernah ada di dalam kamus hidup Najman.
Terima kasih, Ya Allah. Kerana mempertemukan aku dan Dahlia.
Dahlia… nak tahu tak kenapa saya bawa awak ke sini? Sebab bila dapat tengok muka awak, hati saya rasa tenang. Rasa ikhlas sikit nak buat kerja.
“Jom balik?” ajak Najman selepas kerja-kerja yang perlu diselesaikan berjaya disudahkan dengan bantuan Dahlia. Kesian pula Najman melihat wajah Dahlia yang kemerahan dan dicemari oleh rintik-rintik peluk. Panas agaknya!
Dahlia mendongakkan wajah sambil anak matanya memerhatikan wajah Najman.
“Kenapa pandang macam tu?” tanya Najman seperti tidak berpuas hati apabila Dahlia memandang pelik ke wajahnya.
Dahlia senyum. Anak matanya tetap memandang sekujur tubuh Najman dari atas sampai bawah. “Awak nampak macam baru balik dari sawah. Berpeluh satu badan.”
Kepala ditoleh sambil anak matanya dikecilkan ke arah Dahlia. “Sampai hati cakap macam tu! Muka awak pun sama. Macam tengah berjemur kat tepi pantai. Merah!”
Dahlia cuma mencebik sebelum kembali mengatur langkah.
Sudahnya, Najman menghemburkan ketawa sebelum mengekor langkah Dahlia yang laju meninggalkannya.
“Dahlia… kita singgah rumah saya sekejap, ya? Tak selesalah baju berbau peluh macam ni.” Najman bersuara setelah masing-masing sudah berdiri di hadapan kereta Najman.
Serba salah juga Najman mahu mengajak Dahlia singgah ke rumahnya. Tetapi Najman tahu, dia tidak akan selesa dengan baju yang sudah basah dengan peluh seperti ini.
Dahlia menoleh ke arahnya sambil menggaru kepala perlahan. Najman tersenyum melihat gelagat itu. Dia nampak wajah Dahlia yang serba tidak kena.
Err… tapi…” Anak mata Dahlia beralih memandang jam di pergelangan tangan.
“Sekejap saja. Janji!” Najman mengangkat tapak tangannya seperti ingin melafazkan ikrar.
“Yalah! Yalah!”
Najman senyum lagi. Persetujuan Dahlia melegakan hatinya. Mana tidaknya? Tadi Dahlia datang naik kereta dia. Kalau Dahlia suruh hantar dia ke pejabat dulu, habislah Najman! Memang tidak selesa dengan baju yang dipenuhi peluh begini.

Terima kasih, Dahlia. Sebab memahami saya.

#UnedditedVersion

No comments:

Post a Comment