Sunday, March 12, 2017

Mencintai Satu Nama 3


BAB 3

MUKANYA diangkat apabila mendengar derap kaki seseorang yang berjalan ke arah pintu pejabat bosnya. Cepat-cepat Dahlia berlari anak dan menghalang langkah lelaki itu.
Kalut sungguh dibuatnya apabila Encik Najman datang dan terus melangkah ke pejabat bosnya tanpa bertanya sepatah pun.
Ya, lelaki ini memang selalu begini. Lelaki ini memang suka buat sesuatu yang menyakitkan hati. Lelaki ini memang suka bertindak melulu. Dan lelaki ini juga memang suka marah-marah tanpa sebab yang munasabah.
“Encik Najman! Maaf, Encik Najman tak boleh masuk!”
Pantas Dahlia mengatur langkah lalu berdiri di hadapan Encik Najman sambil kedua-dua belah tangannya didepakan. Senyuman cuba diukirkan apabila lelaki itu menghentikan langkah dan melemparkan jelingan tajam ke arahnya.
Ya Allah, berdebarnya! Jangan dia marah aku depan-depan orang ramai sudahlah!
“Assalamualaikum, Encik Najman. Maaf, Encik Najman tak boleh masuk. Encik Zaf ada tetamu.” Dahlia membetulkan semula ayatnya sebentar tadi. Kali ini dia cuba bersuara selembut yang mungkin dengan harapan hati lelaki itu juga akan menjadi lembut.
Pandangan tajam sepasang anak mata Encik Najman seolah-olah sedang menembusi sepasang anak mata Dahlia. Seolah-olah tidak berpuas hati apabila Dahlia menghalang langkah yang diatur ke bilik abangnya.
“Kau apa hal? Bilik abang aku kut? Suka hati akulah nak ke mana pun. Syarikat ni ayah aku yang punya. Kau tu cuma makan gaji saja kat sini!”
Berlagak! Habis tu, kau boleh buat sesuka hatilah? Huh, jangan harap! Ini kerja aku. Aku makan gaji yang halal. Mestilah kena buat kerja elok-elok!
Dahlia senyum sambil menganggukkan kepala. “Saya tahu. Sebab itulah saya cuba melakukan kerja saya dengan sebaik yang mungkin. Tak salah kalau Encik Najman hormatkan tetamu Encik Zaf, kan?”
“Huh, rimas betul aku dengan kau ni! Macam manalah kau boleh lulus temuduga hari tu? Dahlah! Kalau tetamu dia dah keluar nanti, kau inform aku. Payah betul berurusan dengan bendul macam kau ni!”
Dahlia mencebik di dalam diam. Bendul tak bendul?! Lantak kaulah! “Terima kasih Encik Najman, sebab faham. Insya-Allah, nanti saya akan informkan kepada Encik Najman.”
Tanpa bersuara lagi, Najman terus mengorak langkah meninggalkan meja Dahlia. Sambil berjalan, Najman mengukir senyum. Tercuit dengan telatah Dahlia sebentar tadi.
Untung Abang Zaf dapat PA macam Dahlia. Sudahlah cantik. Baik pula. Yang penting, senyuman dia tu. Fuh, bergetar iman di dada bila nampak senyuman dia yang manis tu! Comel sungguh!
Fatin pun baik juga. Tapi Fatin tu tunang orang. Dahlia bukan tunang sesiapa pun. Tak rugi Najman tanya soalan yang pelik-pelik kepada Dahlia ketika temuduga dulu. Sekurang-kurangnya Najman sudah tahu bahawa Dahlia bukan isteri ataupun tunang orang.
Najman tersengih sebelum melabuhkan duduk di mejanya kembali.



TEKUN Najman menyiapkan kerja-kerjanya. Tetapi macam mana nak siap ni? Kena jumpa Abang Zaf juga. Abang Zaf pandai sikit. Kalau tak tanya dia, takut tersilap pula nanti.
            Selang beberapa minit, telefon di atas mejanya berdering. Malas mahu menjawab, Najman membiarkan sahaja deringan itu mati.
Biasanya jika Najman tidak menjawab panggilan itu, Fatin yang akan menjawab. Tetapi hari ini Fatin pula cuti. Malaslah nak menjawab panggilan tu.
Tidak lama selepas itu, ada lagi panggilan yang masuk. Najman melepaskan keluhan kecil. Rasa macam nak cabut sahaja wayar kat belakang telefon ni. Waktu orang tengah sibuk inilah sibuk nak berbunyi juga.
Sudahnya, Najman menjawab juga panggilan itu. “Hello!” Acuh tidak acuh sahaja Najman menjawabnya.
“Assalamualaikum, Encik Najman. Saya Dahlia dari Pejabat Eksekutif.”
Najman mencebik sekejap. “Eleh, macamlah aku tak kenal suara kau tu! Nak kenalkan diri bagai? Nak apa call ni?”
Di hujung talian, Dahlia sudah mengukirkan senyuman. “Oh, Encik Najman boleh kenal suara saya, eh? Bangganya saya! Sebelum tu saya nak tanya Encik Najman satu soalan. Encik Najman dah jawab salam saya ke belum?”
“Eh, yang kau nak menyibuk sangat ni kenapa? Kau nak apa ni? Kalau kau call aku semata-mata nak bagi ceramah macam ni, baik tak payah! Aku tak ada masa nak dengar ceramah kau tu!”
Err… maaf, Encik Najman. Saya ni lebih-lebih pula, kan? Saya cuma nak bagitahu yang…”
Belum sempat suara di hujung talian menghabiskan baris ayatnya, Najman terlebih dahulu menyampuk dengan jerkahan kuat.
“Nak bagitahu apa?” jerkah Najman kuat.
Sebenarnya Najman memang sengaja menjerkah gadis itu. Padahal di dalam hatinya sudah ketawa mengekek. Terbayang-bayang wajah menggelabah Dahlia di hadapan matanya.
Err… saya nak cakaplah ni. Encik Najman tu yang menyampuk tiba-tiba. Nasib baik tak tercabut jantung saya ni sebab terkejut.”
“Kau melawan aku, eh?” Najman masih mahu menghemburkan amarahnya kepada Dahlia di hujung talian.
“Lagi satu! Kau jangan nak ber‘encik’ bagai bila kita hanya bercakap berdua. Aku bukan bos kaulah,” sambung Najman lagi.
Perlahan, nafasnya dihelakan panjang. Susah betul bercakap dengan ‘anak bos’ yang bijak pandai ini. Ada saja yang tak kena di mata dia!
“Kalau saya tak panggil Encik Najman dengan panggilan ‘encik’, saya nak panggil apa? Awak? Kau? Hmm, tak pun ‘pak cik’?” tanya suara halus di hujung talian sambil disusuli dengan ketawa kecil. Ketawa yang sengaja mengejek.
“Pak cik?” ulang Najman dengan suara yang agak kuat. “Ewah, sedap betul kau mengata aku, kan? Kau ni kalau sehari tak cari gaduh dengan aku tak boleh agaknya?”
Dahlia mengetap bibir geram. “Encik Najman, saya telefon ke meja Encik Najman ni bukan nak cari gaduh. Saya cuma nak cakap yang…”
“Kau nak ca…”
“Encik Najman!” pintas Dahlia sebelum Najman menghabiskan baris katanya. Terus terdiam Najman apabila mendengar suara kuat Dahlia.
“Dengar apa yang saya nak cakap dulu. Lepas tu, kalau Encik Najman nak marah ke, nak menjerit ke, saya dah tak kisah dah. Encik Zaf nak jumpa Encik Najman. Tetamu dia yang tadi tu dah balik. And then, kalau Encik Najman nak jumpa Encik Zaf, Encik Najman boleh datang ofis ni sekarang.”
Najman menjauhkan ganggang telefon dari telinganya. Baris kata itu meluncur laju dalam satu nafas sahaja. Berkerut dahinya sekejap. Dah macam bertih jagung! Boleh dia main pintas ayat aku macam tu saja? Minah ni memang nak kena dengan aku agaknya?!
“Yang awak ni be…”
“Kalau Encik Najman dah tak ada apa nak dicakapkan, saya nak letak telefon. Bye. Assalamualaikum.”
Sekali lagi Dahlia memintas percakapannya. Selang beberapa saat, hujung talian sudah kedengaran tanda dimatikan. Boleh dia letak telefon macam tu saja?



“APASAL Dahlia?” tegur Kak Syima dari arah mejanya.
Dahlia mengangkat wajah. Seraut wajah Kak Syima yang sedang memandang turut dipandang. Lambat-lambat, keluhan kecil dihelakan.
“Encik Najman ke yang call tadi?” tanya Kak Syima lagi.
“Orang gila, kak. Saya bercakap, dia sibuk nak menyampuk. Geram betullah saya.”
Terhembur keluar ketawa Kak Syima apabila mendengar jawapan Dahlia.
“Orang gila call tak apa lagi, Dahlia. Jangan Dahlia yang jadi gila nanti sudahlah,” perli Kak Syima pula.
Perlian Kak Syima cuba dijawab dengan cebikan kecil.
Selang beberapa saat, Dahlia kembali merenung ganggang telefon. Sekejap lagi, mesti dia datang ke sini bersama muka bengang. Berasaplah telinga ni kena marah dengan dia nanti.
Baru sahaja Dahlia berkira-kira untuk berpura-pura ke tandas, kelibat seorang lelaki sudah muncul di hadapan mejanya.
Dahlia mengangkat wajah. Perlahan liurnya ditelan. Tak sempat nak lari, dia dah muncul? Nampaknya telahan Dahlia sebentar tadi memang tepat.
Err… muka singa hidung belang ni macam nak makan aku saja?
Beberapa saat berlalu sambil anak mata saling bersabung di antara satu sama lain. Sudahnya, Dahlia memilih untuk mengukirkan senyuman manis. Harap-harap ‘encik singa’ ini akan lembut hati apabila nampak senyumannya yang ikhlas ini.
“Assalamualaikum, Encik Najman,” sapa Dahlia, berpura-pura ramah.
“Kenapa kau letak telefon macam tu saja?”
Soalan dingin itu tidak mengejutkan Dahlia. Malah, Dahlia sendiri sudah dapat mengagak soalan yang diutarakan kepadanya. “Err… tak ada apa nak cakap lagi,” jawab Dahlia dengan riak muka tidak bersalah.
Najman mengecilkan anak mata. Riak wajah menggelabah Dahlia diperhatikan lama.
Dahlia turut memandang anak mata yang tekun merenungnya. Kemudian, dahi pula berkerut seribu. Dahlia perasankan perubahan yang ketara pada riak wajah lelaki di hadapannya ini.
Pandangan mata yang tadinya nampak garang tiba-tiba sahaja berubah menjadi satu pandangan redup. Redup seperti awan hitam yang melindungi pokok dari teriknya mentari.
Dah kenapa pula? Pandang! Pandang! Cucuk mata tu baru tahu!
Mendengar daun pintu bilik Encik Zafiy dibuka, kedua-dua mereka saling mengalihkan pandangan.
Dahlia mengukirkan senyuman sambil melepaskan nafas kelegaan.
Najman turut mengukirkan senyuman sebaik sahaja melihat kelibat abangnya.
“Man cari abang ke tadi?” tanya Zafiy sambil memandang dua wajah itu silih berganti. Ketika membuka pintu biliknya sebentar tadi, Zafiy nampak Dahlia dan Najman seperti sedang merenung di antara satu sama lain. Kenapa?
“Man nak tanya banyak benda ni. Boleh tak Abang Zaf turun ke pejabat Man sekejap?”
Mendengar perubahan suara Encik Najman, Dahlia mengukirkan senyuman kecil. Sebenarnya, Dahlia suka sangat tengok dua beradik ini. Mereka rapat dan sangat mesra. Perangai Encik Najman pula akan berubah seratus peratus apabila Encik Zaf ada bersama dengannya.
Dan yang paling Dahlia suka adalah panggilan ‘Man’ untuk nama Encik Najman. Bunyi macam manja sangat bila Encik Zaf memanggil Encik Najman dengan panggilan ‘Man’.
“Dahlia… saya turun ke pejabat bawah sekejap. Kalau ada apa-apa nanti, awak terus call pejabat Najman, ya?”
“Baiklah, Encik Zaf.”
Najman mencebik ke arah Dahlia. Bukannya Najman tidak perasan. Kalau dengan Abang Zaf, Dahlia ni pijak semut pun tak mati! Elok saja bercakap. Tapi kalau dengan Najman, asyik nak melawan saja kerja Dahlia.
Dahlia turut mencebik. Bukannya dia tidak nampak jelingan maut yang menghantar ‘amaran senyap’ itu. Ada aku kisah? Lantak kaulah!
“Kau ada hutang dengan aku yang belum selesai!” Sempat Najman meninggalkan ugutannya.
“Ada saya kisah?” tanya Dahlia selamba.
Najman menghulurkan jelingan tajam. Soalan Dahlia dibiarkan tanpa jawapan. Langkah terus diatur menyaingi langkah abangnya yang sudah berlalu.
Dahlia sengih sambil melabuhkan duduk semula di atas kerusinya. Kalau bukan kerana Encik Zaf ada bersama mereka, sudah pasti Encik Najman akan menghemburkan amarahnya kepada Dahlia lagi.

Fuh, lega! Puas hati aku. Mentang-mentang kau bos, kau ingat aku takut ke? Yang salah tu tetap salahlah. Tak kiralah kau bos ke, apa ke?

#UnedditedVersion

No comments:

Post a Comment