Friday, May 5, 2017

Mencintai Satu Nama 10


BAB 10

BERKALI-KALI Dahlia menepuk pipi sendiri. Sungguh, perasaan malu masih bertamu di dalam hatinya. Tidak senang duduk Dahlia dibuatnya. Sekejap Dahlia berdiri. Sekejap pula Dahlia duduk semula di atas kerusinya.
Dari pagi tadi, satu kerja pun masih tak boleh nak buat! Sungguh, Dahlia bimbang sekiranya Najman akan datang ke pejabat ini. Kalau boleh, biarlah tidak bersua muka untuk seketika. Biar hilang dulu perasaan malu Dahlia. Biar tenang dulu jiwa Dahlia yang keresahan.
Hesy, Najman ni pun satulah! Aku tahu niat dia nak menolong. Tapi tak sangka pula boleh terjatuh ke arah Najman. Yang paling buat Dahlia malu adalah ketika Najman menarik pinggang Dahlia rapat ke dada bidang Najman.
Fuh, terasa seperti terbang melayang separuh nyawa Dahlia ketika itu!
Pagi tadi, ketika jarum jam masih belum menunjukkan angka lapan, Dahlia memanjat kerusi untuk mencapai fail di atas rak yang berada di dalam bilik Encik Zaf. Kerana ketinggian yang tidaklah tinggi mana, Dahlia menjungkitkan kaki sambil hujung jari menolak fail supaya senang untuk disambutnya.
Tidak sangka pula, datang seseorang ke dalam bilik Encik Zaf lalu menyergah Dahlia. Terkejut Dahlia bukan main lagi. Kerana terpaksa menoleh laju ke arah belakang, Dahlia hilang imbangan badan. Tumit kaki pula tersalah ‘landing’.
Sungguh, Dahlia tidak menyangka akan terjatuh ke arah lelaki yang menyergahnya. Kerana itu jugalah lelaki itu terpaksa menarik rapat pinggang Dahlia ke arah dada bidangnya untuk menyeimbangkan kedudukan.
Dan lelaki itu adalah Najman!
Sungguh, Dahlia memang terkejut dengan kejadian yang tidak disangka itu. Tanpa berkata sepatah pun, Dahlia terus mengatur langkah keluar dari bilik Encik Zaf.
Lelaki itu juga seperti terkejut dengan kejadian yang mungkin tidak disangkanya. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari bibir Najman.
Entah bila masanya Najman melangkah keluar dari bilik Encik Zaf, Dahlia sudah tidak tahu. Apa yang pasti, agak lama Dahlia membatukan diri di dalam tandas kerana perasaan malu yang menebal di muka sendiri.
“Dahlia… ooo Dahlia!” jerit Kak Syima dari arah mejanya.
Dahlia buat-buat tak dengar sahaja. Padahal Dahlia dengan Kak Syima menjerit namanya. Mungkin kerana deringan telefon di meja Dahlia kedengaran bingit. Dahlia pula malas mahu menjawab panggilan itu.
Bukan apa, Dahlia cuma takut Najman yang menelefon ke mejanya. Perasaan malu masih bersisa. Jadi, lebih baik Dahlia tidak menjawab panggilan yang sudah beberapa kali masuk.
“Hah, dah datang pun ‘doktor peribadi’ Dahlia! Sekejap lagi masalah pendengaran Dahlia akan hilang serta-merta,” perli Kak Syima lagi.
Serentak itu, Dahlia menoleh pandang ke arah yang dimaksudkan oleh Kak Syima. Melihat kelibat seseorang yang sedang melangkah ke arah pintu pejabat mereka, Dahlia terus bangun dari duduknya. Laju kakinya berlari anak ke meja Kak Syima.
Aku tak nak jumpa dia!
Aku belum bersedia untuk berhadapan dengan Najman!
“Kenapa Dahlia?”
Dari ekor matanya, Dahlia nampak riak wajah terpinga-pinga Kak Syima yang menyoal. Mungkin pelik apabila melihat Dahlia tiba-tiba menyorok di bawah mejanya. Dekat dengan kaki Kak Syima. Soalan Kak Syima itu cuma dijawab dengan muka menyeringai.
 “Syhh!” Dahlia membuat isyarat supaya Kak Syima tidak bertanya apa-apa lagi.
“Kalau Encik Najman tanya pasal saya, akak cakap tak tahu, ya?” Perlahan suara Dahlia. Dalam diam dia berdoa semoga Najman tidak akan menapak ke meja Kak Syima. Tak naklah terkantoi dalam keadaan macam ni.
“Kak Syima, Dahlia mana?”
Seperti yang telah diagak oleh Dahlia, memang itu soalan yang ditanya oleh Najman.
“Eh, tadi ada kat situ! Akak tak tahulah, Encik Najman,” bohong Kak Syima pula.
Dahlia di bawah meja sudah melepaskan nafas kelegaan. Mujur juga Kak Syima jawab macam tu. Kalau tak, banyak pula soalan Najman nanti. Sempat pula ibu jarinya diangkat ketika Kak Syima menjeling pandang ke arahnya.
 “Hmm, tak apalah. Nanti kalau Dahlia dah balik ke meja, akak telefon ke meja saya, ya?”
“Baiklah, Encik Najman.”
Selepas kelibat Encik Najman menghilang dari pandangan matanya, Kak Syima terus mencuit bahu Dahlia. “Dia dah pergi. Sebenarnya, apa yang sudah terjadi? Kenapa menyorok? Dah macam budak-budak main menyorok macam ni!”
Err… lain kalilah saya cerita dengan akak, ya? Sebenarnya saya nak masuk jumpa Encik Zaf sekejap. Encik Najman punya pasal, habis berkedut baju kurung saya sebab menyorok macam tu.”
Serba salah Dahlia dibuatnya. Kalau tak cerita, sudah tentulah Dahlia akan buat Kak Syima tertanya-tanya. Kalau bercerita pula, sudah tentulah Dahlia yang akan malu sendiri. Lebih baik Dahlia melarikan diri.
Jelas, seraut wajah Kak Syima menunjukkan riak tidak berpuas hati. Dahlia pula hanya mengukirkan sengihan sebelum berlalu dari meja Kak Syima. Sempat tangannya melambai ke arah Kak Syima.



“DAHLIA… hari Rabu, Khamis, dan Jumaat saya kursus kat JB, ya? Nanti kalau ada apa-apa awak boleh whatsApp saya terus.”
Terkebil-kebil anak mata Dahlia memandang wajah bosnya. Tiga hari? Lamanya? “Err… lamanya Encik Zaf?”
‘Kalau lama-lama, nanti saya rindukan Encik Zaf pula,’ sambung Dahlia di dalam hatinya.
Encik Zaf mengangguk sambil menghelakan nafas kecil. Kali ini kenapa pula? Kena paksa dengan ‘bos besar’ lagi ke?
“Nak buat macam mana, kan? Dah namanya kerja. Nak tak nak, terpaksa juga.”.
Dahlia mengangguk perlahan. Betullah apa yang Encik Zaf cakap tu. Tapi tiga hari tu lama. Bersambung pula dengan hari Sabtu dan Ahad. Nampaknya, lima hari juga tak dapat tengok wajah Encik Zaf yang handsome ni.
“Lagi satu, pasal Najman…”
Dahlia mengerutkan dahi apabila mendengar sepatah nama itu. Kenapa ayat itu tergantung begitu sahaja? Sepasang anak mata Dahlia bersabung pandang dengan sepasang anak mata lelaki di hadapannya untuk beberapa saat.
“Kenapa dengan dia?” Laju soalan itu terkeluar dari seulas bibir Dahlia.
“Sepanjang saya tak ada mungkin Najman akan minta pertolongan awak. Sebab Fatin cuti seminggu untuk persiapan kahwin dia.”
Err… tapi kenapa saya pula? Dah tak ada orang lain ke?” Susahnya hati Dahlia! Semakin dia cuba mengelak, semakin dekat pula Dahlia dan Najman!
“Saya minta maaf, Dahlia. Tapi cuma awak sahaja yang boleh tolong Najman sementara saya tak ada. Lagipun, Najman request awak. Dan Encik Airil sendiri dah setuju. Susah juga saya nak menolak.”
Dahlia cuma mengangguk. Dalam diam, keluhan panjang dihelakan. Nak buat macam mana? Kerja jadi kuli kenalah ikut cakap bos!
Hesy, macam manalah aku nak berhadapan dengan Najman lepas ni? Jangan Najman sebut lagi pasal kejadian pagi tadi sudahlah. Harap-harap peristiwa itu cuma akan menjadi rahsia mereka berdua sahaja. Encik Zaf sendiri pun tak boleh tahu pasal tu. Bimbang Encik Zaf akan fikir yang bukan-bukan pula tentang Dahlia nanti.
“Dahlia…”
Tersentak. Lamunannya terhenti. Kemudian, sepasang anak matanya singgah memandang wajah bosnya. Ada kerutan yang tergambar pada dahi sendiri. Apasal Encik Zaf pandang macam tu?
Hmm?” tanya Dahlia sepatah.
“Awak bergaduh dengan Najman ke?”
Tersentak Dahlia dengan soalan secara tiba-tiba itu. Sudah! Apa aku nak jawab ni? “Hah? Err… taklah. Kenapa Encik Zaf tanya macam tu?”
“Saya nampak awak mengelak. Dan bila saya sebut pasal Najman saja, air muka awak nampak berubah betul. Saya yakin, pasti ada sesuatu yang tidak kena di antara awak dan Najman.”
Tersentak! Terasa sakit sungguh dada Dahlia apabila setiap patah perkataan itu menusuk masuk ke corong telinganya.
Dah macam tukang tilik! Jangan-jangan Encik Zaf memang selalu perhatikan aku dan Najman? Kenapa pula?
Err… mana ada macam tu.” Tergagap-gagap Dahlia mahu menjawabnya. Kalau Encik Zaf pun boleh perasan, agak-agak Najman perasan tak?
“Tak mengaku? Bawah meja Kak Syima…”
Syhh! Janganlah cakap kuat-kuat. Nanti ada orang dengar pula.” Menggelabah sungguh Dahlia apabila Encik Zaf menyebut tentang hal itu.
Jadi, Encik Zaf nampak? Mengelak daripada Najman, tapi kantoi pula dengan Encik Zaf! Memang malu seribu tahunlah jawabnya!
So, awak memang bergaduh dengan Najman lah, ya?”
Anak mata Dahlia singgah sebentar pada sepasang anak mata bosnya yang sedang memandang wajahnya. “Bukan bergaduh. Cuma…” Baris ayat Dahlia terhenti begitu sahaja. Tangan kanan sudah naik menggaru kepala yang tidak gatal. Cuma apa, Dahlia?
“Tak mengapalah. Tak perlu teruskan ayat awak. Sekarang ni saya akan buat macam tak pernah nampak apa-apa. Tapi lepas saya balik dari Johor nanti, kalau awak dan Najman masih macam ni, tahulah apa yang saya nak buat.”
Dalam diam Dahlia mencebik kecil. Ek eleh, mestilah dia nak ‘backup’ adik dia! Huh, aku pun tak akan mengalah! Percayalah!
“Saya bukan nak backup Najman sebab dia adik saya. Cuma, saya tak nak perkara macam ni berulang lagi. Tak elok kalau staf lain pun tahu. Cukuplah Emir dan Kak Syima saja yang tahu.”
Dahlia meneguk liur perlahan. Encik Zaf ni kadang-kadang instinct dia kuat. Boleh baca apa yang ada di dalam hati Dahlia.
“Bagi saya sedikit masa, Encik Zaf. Insya-Allah, selepas ini perkara macam ni tak akan berlaku lagi.”
“Janji?”
Err… janji.” Malas-malas barulah Dahlia menjawab. Jelas suaranya tidak menunjukkan keikhlasan.
“Kalau macam tu, tolong serahkan fail ni kepada Najman. Dan sepanjang saya outstation, saya harap awak akan bekerjasama dengan Najman dalam keadaan yang baik. Boleh, kan?”
“Hah?” Terkejut Dahlia dibuatnya!
Kenapa pula dengan Encik Zaf ni? Tahulah nak suruh aku berbaik dengan adik dia. Tapi kalau bukan hari ini tak boleh ke? Tahukah Encik Zaf yang aku masih tebal muka untuk bersua muka dengan Najman?
“Tak boleh ke?” usik Zafiy lagi.
Err… boleh. Insya-Allah.”
Akhirnya, Dahlia terpaksa mengalah juga. Nak buat macam mana lagi, kan? Encik Zaf bos, Najman pun bos. Bekerja dengan mereka kenalah ikut arahan mereka.
Haih, nasiblah!



MAHU atau tidak, Dahlia terpaksa menebalkan muka untuk bersua muka dengan Najman. Tadi bukan main mengelak lagi. Alih-alih, kena datang jumpa Najman juga. Encik Zaf macam sengaja nak kenakan Dahlia saja?
Apabila berhadapan dengan Najman pula, lelaki itu tidak mengizinkan Dahlia melangkah keluar dari bilik pejabatnya.
Kalau pasal kerja memanglah Dahlia tak kisah. Tapi kalau pasal nak renung wajah Dahlia, memang Dahlia akan naik angin. Karang tak pasal-pasal terbawa ribut dan taufan sekali. Alamatnya, boleh bergegar bangunan ni!
Laju Dahlia menoleh ke sisinya. Satu jelingan tajam turut dilemparkan. “Apa pandang-pandang?” tanya Dahlia dengan nada tidak berpuas hati.
Lelaki itu cuma tersengih sambil kedua-dua belah bahunya dijungkitkan. “Tak ada apa-apa.”
“Tipu!”
“Tak!”
“Habis tu, kenapa awak pandang saya macam tu?” tanya Dahlia lagi. Sungguh, Dahlia tidak berpuas hati dengan jawapan demi jawapan yang diterima. Tengok sajalah pandangan mata dia tu! Macam sedang mengata Dahlia pun iya juga!
“Saja!”
“Banyaklah awak punya saja!” marah Dahlia sambil menjulingkan anak matanya ke atas.
Saja-saja macam tu? Tengok sajalah lirikan mata dia yang lain macam tu. Karang ada juga jari telunjuk aku ni naik mencucuk kedua-dua anak mata dia. Biar buta terus! Senang sikit hati ni!
“Awak rasa?” soal Najman bersama senyuman di bibir.
“Saya rasa?” tanya Dahlia kembali. Kali ini anak matanya dikecilkan sambil sepasang mata redupnya merenung tajam seraut wajah yang sedang tersengih di sisinya.
Najman menjungkitkan kening sebagai pertanyaan. Ulas bibirnya masih lagi dengan senyuman.
“Saya rasa awak pandang saya sebab sedang merancang sesuatu.” Tanpa sembunyikan apa-apa, Dahlia berterus-terang sahaja.
“Maksud awak?”
“Esok Encik Zaf ke JB. Tiga hari pula. Jadi, saya rasa awak tengah merancang untuk membuli saya,” jawab Dahlia jujur.
Namun, jawapan Dahlia itu hanya menghadirkan ketawa kuat. Geram sungguh hati Dahlia apabila mendengar lelaki itu ketawa sampai macam nak terburai urat perut. Dia ni saja nak main-mainkan aku ke apa?
“Betul, kan?” tanya Dahlia lagi.
Najman mengangguk perlahan. “Thank you so much sebab dah bagi saya satu idea yang cukup bernas.”
“Awak jangan berani nak buli saya, ya? Sebelum awak buli saya, saya yang akan buli awak dulu. Percayalah!”
Okay! We will wait and see!”
Dahlia mencebikkan bibir. Najman bukannya tahu nak mengalah pun. Esok mesti Dahlia yang akan dibuli oleh lelaki itu.
“Dahlia…” panggil Najman perlahan.
Hmm?”
“Saya nak minta maaf pasal pagi tadi.”
Tiba-tiba sahaja seraut wajah Dahlia sudah membahang kemerahan. Hesy, kenapa sebut lagi pasal hal pagi tadi? Dia tak tahu ke yang aku malu sangat bila teringat balik apa yang berlaku pagi tadi?
Kali ini Dahlia langsung tidak mengangkat wajah. Jemarinya konon-konon sibuk menaip sesuatu pada telefon bimbitnya.
“Awak dengar tak ni?” tanya Najman lagi.
Lambat-lambat Dahlia melepaskan keluhan kecil. Bersama wajah yang membahang kepanasan, anak matanya memandang seraut wajah Najman yang sedang mengukirkan senyuman.
“Saya maafkan sebab saya tahu awak tak sengaja. So, lepas ni jangan sebut apa-apa lagi pasal pagi tadi. Boleh?”
“Kenapa?” Soalan Dahlia dibalas dengan soalan juga.
Dahlia mengecilkan anak matanya. Boleh pula dia tanya ‘kenapa’?
“Malu?” tanya Najman bersama senyuman di bibir. Jelas terserlah lesung pipit pada kedua-dua belah pipinya.
“Hah, tanyalah lagi soalan macam tu kalau nak nampak fail ni melayang kat muka sendiri!” ugut Dahlia pula. Geram sungguh hati Dahlia dengan perangai Najman ni. Sengaja nak buat Dahlia malu, kan?
“Yang tidak sengaja tu namanya rezeki, Dahlia!”
Berdesing telinga Dahlia apabila mendengar baris ayat berbaur perlian dari mulut Najman. Laju tangannya mengangkat sebuah fail setebal dua inci itu lalu dihempuk ke bahu Najman.
“Jangan cakap saya tak bagi warning tadi!” marah Dahlia lagi.
Pukulan Dahlia hanya membuahkan ketawa Najman ketawa.
“Jangan gelak!” Bulat anak mata Dahlia memberikan amaran kepada lelaki itu. Jika diikutkan hatinya yang sakit, mahu sahaja Dahlia meletakkan tapak tangannya di mulut Najman. Biar tak boleh bercakap terus. Tetapi Dahlia masih tahu yang mana halal dan haram.
Belum apa-apa lagi, Najman sudah meletakkan tapak tangan pada mulut sendiri seperti sedang menahan ketawanya yang masih ingin meletus. Keadaan begitu semakin menyerlahkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.
Sudahnya, Dahlia cuma diam. Makin dilayan perangai Najman ni, makin teruklah lelaki itu akan gelakkan Dahlia.
“Terima kasih, Dahlia.”
Dahlia menoleh ke sisinya sambil mengerutkan dahi. Terima kasih untuk apa pula?
“Sebab sudi memaafkan saya yang berdosa,” sambung Najman lagi.
“Sama-sama. Jangan lupa minta ampun dengan DIA pula!”


#UneddittedVersion

p/s:
- Entry #DahliaNajman di blog berakhir pada bab 10. Jom sama-sama dapatkan #VersiCetak pula. Boleh PM Penerbitan Bes Q untuk dapatkan novel Mencintai Satu Nama
-    Boleh baca TEASER yang dipost di group fb @Rose Aleyna (Cinta Aku Untuk Dia). 
-       Terima kasih di atas sokongan anda untuk karya saya.

#RoseAleyna
#Jumaat #05May2017

1 comment: