Sunday, March 12, 2017

Mencintai Satu Nama 4


BAB 4

“ASSALAMUALAIKUM, Kak Syima,” sapa Najman di hujung talian.
“Waalaikumussalam, Encik Najman. Ada apa, ya?” tanya Kak Syima dengan wajah kepelikkan.
Memang jarang sekali anak bos yang seorang ini nak menelefon ke meja kerjanya. Paling kurang pun Encik Najman akan bertanya pasal Encik Emir. Kali ini pagi-pagi lagi sudah menelefon. Belum pukul lapan pun. Ada apa hal pula?
Err… kak, Dahlia ada kat meja akak ke? Kalau ada saya nak bercakap dengan dia sekejap.”
Kak Syima mengangkat sepasang anak matanya. Seraut wajah Dahlia yang juga memandang ke arahnya direnung sekejap. Ada tanda tanya yang memenuhi ruang fikirannya. Mana tidaknya? Pagi-pagi lagi Encik Najman sudah mencari Dahlia!
Dahlia yang tidak faham dengan renungan mata Kak Syima mula menjungkitkan kening sebagai pertanyaan.
“Sekejap ya, Encik Najman.” Telefon pejabat itu dialihkan dari telinganya. Kemudian diserahkan pula ganggang telefon itu kepada Dahlia. “Encik Najman nak bercakap dengan Dahlia.”
Hampir terngadah Dahlia dibuatnya. Macam mana pula Encik Najman tahu Dahlia kat meja Kak Syima sekarang ini? Dia nak apa pula pagi-pagi macam ni?
Lambat-lambat, Dahlia menyambut juga huluran ganggang telefon dari tangan Kak Syima.
“Assalamualaikum, Encik Najman. Ada apa, ya?” Dahlia terus bertanya. Dah tak boleh tunggu pukul lapan agaknya? Suka betul menyusahkan orang pagi-pagi macam ni! Hesy, menyampah betullah!
“Nak apa kau tanya? Kau tahu tak sekarang ni dah pukul berapa?”
“Tujuh lima puluh enam pagi,” jawab Dahlia pantas. Padahal Dahlia tahu, Encik Najman masih ingin meneruskan hujahnya.
“Pandai pula kau menjawab? Kau ‘punch card’ bukan main awal lagi, kan? Lepas tu merewang entah ke mana. Tak ada kerja agaknya? Sia-sia saja company ni bayar gaji pada kau.”
Leteran panjang itu membuahkan keluhan kecil di bibir Dahlia. Sempat anak mata Dahlia memandang ke arah Kak Syima yang sudah menjungkitkan kening sebagai pertanyaan senyap. Sudahnya, Dahlia cuba menjungkitkan bahu sebagai jawapan.
“Encik Najman ni tak pandai tengok jam ke? Belum waktu pejabat, kan? Sebenarnya, Encik Najman tu yang company bayar gaji sia-sia. Datang pagi-pagi bukannya nak buat kerja terus. Membebel mengalahkan itik pulang petang,” laju sahaja Dahlia menjawab.
Sakit sungguh hati Dahlia dengan tuduhan lelaki itu yang sedikit pun tidak pandai nak menjaga hati orang. Kalau orang lain dengar macam mana? Nanti timbul pula fitnah yang bukan-bukan.
“Kau ni kan…”
Najman ingin membalas kata-kata Dahlia. Namun, Dahlia lebih pantas memintas.
“Untuk pengetahuan Encik Najman yang terlebih rajin ni, saya bukan saja-saja merewang kat meja Kak Syima. Saya datang untuk ambil fail. Sepatutnya Encik Najman bersyukur sebab ada pekerja yang terlebih rajin macam saya ni. Belum waktu pejabat dah buat kerja. Agaknya Encik Najman ni memang jenis yang tak pandai bersyukur, kan?” sambung Dahlia lagi. Berdas-das perliannya.
Klik!
Tidak menunggu jawapan daripada Najman, Dahlia terus meletakkan ganggang telefon di atas meja Kak Syima. Padan muka! Kau ingat kau bos, boleh buli akulah?
Puas hati aku! Akhirnya, yang dipendam selama ini terkeluar juga. Orang macam Encik Najman tu memang patut diajar sikit. Biar dia tahu langit ni tinggi atau rendah!
“Encik Najman nak apa pula, Dahlia?” tanya Kak Syima apabila melihat riak wajah Dahlia yang merah akibat menahan marah.
“Entahlah, kak. Tak pasal-pasal cari gaduh. Awal pagi pula! Pelik betullah perangai dia tu. Suka hati dia saja nak cakap saya merewang,” adu Dahlia kepada Kak Syima.
“Entah-entah Encik Najman tu sukakan Dahlia tak? Sebab itulah dia selalu cari gaduh dengan Dahlia. Agaknya dia nak tarik perhatian Dahlia tak?”
Dahlia melemparkan jelingan tajam apabila mendengar usikan dan riak wajah tersengih Kak Syima. Sempat pula Dahlia membuat muka seperti ingin termuntah.
Kak Syima melepaskan ketawa apabila melihat reaksi Dahlia yang begitu.
“Akak nak tahu satu perkara tak? Perkara yang paling menyampah dalam hidup saya adalah apabila bertemu muka dengan seorang Najman. Mentang-mentanglah saya ni bekerja di syarikat ayah dia, apa dia ingat boleh sesuka hati mengarah itu dan ini ke?”
Belum sempat Kak Syima menjawab soalan Dahlia, telefon di atas meja Kak Syima berdering lagi. Dahlia dan Kak Syima saling berpandangan di antara satu sama lain. Otak masing-masing sedang memikirkan nama yang sama.
“Akak… kalau Encik Najman, cakap saya dah masuk jumpa Encik Zaf. Penatlah nak bergaduh dengan dia. Bye, kak!” Cepat sahaja Dahlia mengatur langkah meninggalkan meja Kak Syima.
Tidak menunggu lama, Kak Syima terus menjawab panggilan. Betullah tekaan Dahlia sebentar tadi. Encik Najman yang menelefon kembali. Nak tak nak, Kak Syima pula yang menjadi mangsa leteran Encik Najman.
Haih, nasiblah dapat bos macam ni!



“DAHLIA… petang nanti kita keluar jumpa client, ya?”
Dahlia mengangguk sambil mencatatkan sesuatu pada bukunya. “Pukul berapa?”
“Dalam pukul dua setengah.”
Orait.” Dengan senang hatinya Dahlia terus bersetuju. Kalau jumpa client, kerja tak susah sangat. Dapat minum free lagi. Siapa tak suka, kan?
“Najman ikut sekali,” sambung Zafiy sambil anak matanya memandang wajah Dahlia. Ingin melihat reaksi Dahlia apabila dia menyebut nama Najman.
Kali ini Dahlia terdiam. Terpinga-pinga sekejap. Di dalam hati sudah membantah itu dan ini. Cuma tidak sanggup untuk meluahkan sahaja.
‘Apa hal pula? Kerja Encik Zaf ada kaitan dengan dia ke? Hesy, tak suka betullah dengan pak cik meroyan tu! Menyampah!’
Dahlia memandang sepasang anak mata bosnya. Encik Zaf seperti sedang menyimpan senyum. Lirikan matanya pula seolah-olah sedang membaca riak wajah Dahlia ketika itu. Sudah tentulah Encik Zaf perasankan riak wajah Dahlia yang berubah ketika lelaki itu menyebut nama adiknya.
“Kenapa Dahlia?” Zafiy buat-buat tanya.
Err… tak ada apa-apa,” jawab Dahlia sambil menggaru kepalanya yang dilitupi tudung. Bukan gatal pun. Cuma tidak menyangka soalan yang baru sahaja diutarakan kepadanya.
“Habis tu, kenapa awak buat muka macam tu?”
Dahlia mendongakkan anak matanya. Sepasang anak mata lelaki itu ditatapnya bersama kerutan pada dahi.
‘Encik Zaf ni macam sengaja nak menduga akulah? Tengok sajalah lirikan mata dia yang lain macam tu! Jangan-jangan dia ingat aku ni ada hati dengan adik dia tak?’
“Tak adalah. Cuma saya pelik. Encik Najman kan tak ada kaitan dengan…”
“Ada. Projek kali ini juga melibatkan Najman. Najman akan buat kerja dia, dan kita akan buat kerja kita. Boleh, kan?” pintas Zafiy, masih lagi memandang riak wajah Dahlia.
Keluhan kecil dilepaskan sebelum bahunya dijungkit. Apa boleh buat? Dua-dua anak bos. Dahlia pula makan gaji saja kat sini. Mahu atau tidak, terpaksa ikut juga, kan?
“Fatin ikut sekali?” tanya Dahlia dengan nada berharap. Kalau ada Fatin, tidaklah Dahlia kekok sangat nak buat kerja.
“Tak. Najman cakap Fatin ada kerja yang perlu diuruskan. So, kita bertiga saja. Boleh?”
Dahlia mengangguk. Nasiblah, Dahlia! Kalau bukan sebab kerja, mungkin Dahlia sudah membantah. Sebenarnya, Dahlia bimbang Encik Najman akan mencari pasal dengannya lagi. Apatah lagi bila Encik Zaf ada sekali. Lagilah seronok Encik Najman akan mengenakan Dahlia.
“Awak bergaduh dengan Najman lagi ke Dahlia? Kenapa dia marah-marah awak pagi tadi?” tanya Zafiy apabila Dahlia tiba-tiba diam dan sekadar mengangguk lemah.
“Saya tak tahulah, Encik Zaf. Dia tu suka sangat sakitkan hati saya. Kali pertama seumur hidup saya ditemukan dengan manusia yang paling teruk kat muka bumi ini,” adu Dahlia pula.
Zafiy melepaskan ketawa kecil. “Dia cuma akan jadi manusia paling teruk bila dengan awak saja, Dahlia. Dengan orang lain tak.”
“Itu yang buat saya rasa pelik dan sangat menyampah!”
Zafiy ketawa lagi. “Jangan menyampah sangat, Dahlia. Saya bimbang nanti orang yang awak selalu menyampah itu akan menjadi orang yang paling awak suka.”
Bertaut kening Dahlia apabila mendengar baris ayat itu. “Kenapa Encik Zaf cakap macam tu?”
“Allah ada berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud; Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
Saya cuma bimbang kebencian dan rasa menyampah itu akan menjadi sesuatu yang terbaik untuk awak. Mungkin kebencian itu boleh menjadi sesuatu yang awak suka,” jawab Zafiy bersama senyuman lebar.
Namun, jauh di sudut hatinya Zafiy juga risau jika kebencian itu bakal menjadi sesuatu yang baik untuk Dahlia dan Najman. Bimbang jika Dahlia dan Najman bakal menyulam cinta.
Kenapa harus wujud perasaan bimbang seperti itu?
Ada sebab kenapa Zafiy bimbangkan perkara begitu terjadi. Bimbang juga perkara yang sama pernah dilaluinya bakal terjadi kepada Najman pula. Cukuplah hanya Zafiy seorang sahaja yang mengalami pengalaman pahit seperti itu.
Dahlia benar-benar terdiam apabila mendengar kata-kata Encik Zaf itu. Sampai balik semula ke meja pun Dahlia masih menyebut baris ayat yang sama di dalam hati. 
‘Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.’
Ya Tuhan… tiba-tiba sahaja jantung Dahlia diserang debaran yang menggila. Ada perasaan takut yang menghuni lubuk hati. Ada perasaan pelik yang menyerang jiwa.
Perasaan apakah begini?



SEJAK sampai di meja ini tadi, Encik Najman asyik mencuri pandang ke arah Dahlia. Sesekali raut wajahnya menunjukkan riak cemberut. Sesekali ulas bibirnya pula menunjukkan riak tidak berpuas hati.
Dahlia sudah tidak senang duduk. Entah apa yang ada pada wajahnya sampai Encik Najman sibuk merenung wajahnya sejak tadi lagi? Sampaikan Dahlia terasa segan dengan Encik Zaf dan client yang mungkin perasankan perkara sama.
Perbincangan dengan client Encik Najman serahkan sepenuhnya kepada Encik Zaf memandangkan Encik Zaf lebih petah berbicara dengan clien. Cuma sesekali sahaja Encik Najman menyampuk apabila perbincangan melibatkan kerja Encik Najman.
Tidak berpuas hati dengan anak mata sibuk menjeling ke arahnya, Dahlia menjegilkan anak mata sebaik sahaja pandangan mata mereka bertaut. Jelas, seraut wajahnya menunjukkan riak tidak berpuas hati. Kening dijungkit sebagai pertanyaan.
Namun, pertanyaan senyap itu hanya dijawab dengan senyuman. Tidak cukup dengan itu, Encik Najman menghadiahkan kenyitan matanya kepada Dahlia.
Tiba-tiba sahaja seraut wajah Dahlia berubah kemerahan. Sakit hati bercampur dengan rasa segan. Benci betullah Dahlia dengan perangai Encik Najman yang begini.
Zafiy memandang wajah Najman dan Dahlia silih berganti. Sejak tadi lagi Zafiy perasankan dua pasang anak mata itu asyik menjeling pandang.
“Ehem!”
Tersentak Dahlia apabila mendengar deheman perlahan bosnya. Anak mata beralih pandang ke wajah bosnya. Encik Zaf sedang memandang wajah Dahlia dan Encik Najman silih berganti. Err… kantoi dengan Encik Zaf lah pula!
Selang beberapa saat, Encik Zaf membuat isyarat mata supaya Dahlia tumpukan perhatian kepada apa yang diperkatakan oleh client mereka. Mungkin kerana tidak mahu ada maklumat yang tertinggal kerana sikap sambil lewa Dahlia.
Kecut perut juga Dahlia dibuatnya. Bukan senang nak nampak Encik Zaf marah. Tetapi sekali dia marah, memang boleh buat orang menikus.
Sudahnya, Dahlia tidak lagi memandang ke arah Encik Najman. Membiarkan sahaja wajahnya menjadi tatapan lelaki itu. Yang penting, Dahlia perlu siapkan kerjanya secepat mungkin.
“Man… abang nak tunjukkan tandas kepada Encik Hakim. Jangan bergaduh pula dengan Dahlia.” Sempat lagi Zafiy berpesan kepada Najman dan Dahlia sebelum meninggalkan meja itu.
Selepas kelibat Encik Zafiy dan Encik Hakim hilang dari pandangan, Najman terus menendang perlahan kaki kerusi yang diduduki oleh Dahlia.
Tersentak Dahlia dibuatnya! Lantas, anak mata terus memanah tajam sepasang anak mata yang sedang menikam anak matanya. “Apa hal?” tanya Dahlia kasar. Seraut wajahnya jelas menunjukkan riak tidak berpuas hati dengan perangai lelaki di hadapannya ini.
“Aku paling menyampah bila tengok kau tersengih-sengih macam tu. Apa kau ingat kau cantik ke?”
“Kalau saya ni tak cantik, tak adanya awak cemburu macam ni, kan?” tanya Dahlia dengan nada sinis. Sakit sungguh hati Dahlia dengan kerenah Najman yang bukan-bukan.
“Cemburu?” tanya Najman sambil buat-buat terkejut. Kemudian, ada ketawa kecil yang tercetus di bibirnya.
Nonsense! Buat apa aku nak cemburu? Lagipun, setakat muka kau yang macam ayam berak kapur ni, tak ada sebab aku nak cemburukan kau. Perasan!”
Dahlia mengecilkan anak matanya. “Kalau awak tak cemburu, awak tak akan tanya soalan pelik macam tu. Dengan abang sendiri pun nak cemburu.” Sempat pula Dahlia membuat muka menyampah.
Beberapa saat, anak mata Najman kembali meratah seraut wajah Dahlia. Dahlia perasankan tentang itu. Namun, sengaja buat-buat tidak perasan sambil jemari halusnya berpura-pura menaip sesuatu pada skrin telefon bimbitnya.
‘Jangan-jangan Encik Najman ni betul-betul cemburukan abangnya? Kalau tidak, kenapa pula Encik Najman tanyakan soalan begitu sebentar tadi?’ duga hati kecil Dahlia pula.
“Dahlia… kenapa kau tak suka aku, eh?”
Dahlia mengerutkan dahi apabila soalan yang kedengaran bersahaja itu meniti keluar dari ulas bibir Encik Najman. “Bila masa pula saya cakap tak sukakan awak?”
“Memanglah kau tak cakap. Tapi reaction kau tu buat orang fikir kau tak sukakan aku.”
Dahlia mencebik. Mana ada orang lain fikir macam tu. Rasanya, dia seorang saja yang suka fikir bukan-bukan.
“Kenapa ya, Dahlia? Setiap kali kita berdua macam ni, mesti ada saja yang tidak kena. Kau tak sukakan aku ke Dahlia?”
“Bukanlah tak suka. Cuma…” Patah kata Dahlia terhenti di situ. Sepasang anak mata Dahlia memandang seraut wajah di hadapannya.
‘Kalau bukan tak suka, maksudnya suka? Huh, yang ini memang merepek! Aku tak suka mamat ni! Dan aku tak akan pernah terjatuh suka dengan dia!’
“Kalau bukan tak suka, maksudnya kau sukakan akulah, ya?”
Soalan Encik Najman itu buat Dahlia terasa seperti ingin termuntah hijau. Hah, yang inilah! Dahlia paling menyampah apabila lelaki ini perasan handsome seperti sekarang. Tengok sajalah tu! Tersengih-sengih. Ingat kacak ke buat muka macam tu?
Tapi dia memang kacak pun! Sekali pandang, muka macam Imam Muda. Ala-ala ustaz sikit. Dengan janggut seciput macam tu. Haih, comel betul!
“Kau sukakan aku ke Dahlia?” ulang Najman lagi.
Dahlia menjulingkan anak mata sebelum mencebik. “Jangan nak perasan sangat boleh tak?”
“Mana ada perasan. Kalau bukan tak suka, maksudnya sukalah, ya?”
Najman sudah ketawa lepas. Seronok pula dapat mengenakan Dahlia. Seronok juga apabila melihat riak tidak berpuas hati Dahlia.
“Kalau saya suka awak sekali pun, suka saya sama saja macam saya sukakan Encik Zaf, Encik Emir, Kak Syima, Fatin dan staf lain. Tapi saya suka Encik Zaf lebih. Dia bukanlah seorang yang menyampah seperti awak!”
“Kalau kau suka aku, kenapa kau suka cari gaduh dengan aku, Dahlia? Sebenarnya, sejak hari pertama kita jumpa lagi, kan? Masa temuduga tu kau dah cari pasal dengan aku. Menjawab bukan main lagi, kan?”
Renungan sepasang anak mata Encik Najman membuahkan debar di dalam dada Dahlia. Haih, bukan saja senyuman dia yang menawan. Tetapi lirikan mata tajam dia juga boleh memukau setiap mata yang memandang.
Eh, apasal aku puji mamat ni pula?
“Bukan saya yang suka cari pasal. Awak tu yang angin tak bertempat. Pasal hari temuduga tu pula, kalau bukan sebab awak yang tanya soalan pelik-pelik saya tak akan menjawab sampai macam tu. So, siapa sebenarnya yang suka cari pasal dengan siapa?”
“Kau yang…”
Tiba-tiba sahaja baris ayat Encik Najman terhenti begitu sahaja. Berkerut dahi Dahlia sekejap. Kemudian, anak matanya dilarikan ke arah pandangan mata Encik Najman.
Patutlah senyap tiba-tiba! Encik Zaf dan Encik Hakim sedang menapak ke arah mereka.
Dahlia senyum mengejek. Kalau di hadapan Encik Zaf, Encik Najman tak akan bercakap kasar dengan Dahlia. Apatah lagi untuk mencari gaduh. Baiknya, ibarat pijak semut pun semut tak mati.
“Hari ni kau menang. Lain kali jangan harap kau akan menang lagi.”
Dahlia buat-buat tak dengar dengan amaran perlahan lelaki di hadapannya itu. Sengihannya ditarik lagi. Siapa yang tak suka kalau dapat menang perang mulut dengan mamat kerek ni?

Najman sekadar memerhati telatah Dahlia yang begitu. Tiba-tiba sahaja kecomelan Dahlia nampak terserlah di matanya. Dan yang paling Najman suka tentang Dahlia adalah senyumannya. Senyuman Dahlia yang mampu mencuit hati setiap mata yang memandang.

#UnedditedVersion

No comments:

Post a Comment