Sunday, March 12, 2017

Mencintai Satu Nama 5


BAB 5

SEBAIK sahaja melangkah turun dari perut train, Dahlia melajukan langkah ke bangunan pejabat yang jaraknya lebih kurang seratus meter dari stesen KTM. Sesekali anak matanya menjeling jam di pergelangan tangan. Dah lewat ni!
Hari ini train delay hampir setengah jam. Itu yang jadi lambat. Kalau tak, Dahlia adalah salah seorang pekerja yang datang awal ke pejabat.
Dua bulan bekerja di syarikat ini, Dahlia sudah kalis dengan semuanya. Dahlia gembira. Dan Dahlia juga dapat mengenali hati budi Encik Zafiy dan juga Encik Najman.
Heh, Encik Najman?
Buat apa aku sebut nama dia pula? Dia tak ada kaitanlah dengan apa yang ada dalam kepala otak aku ni. Buat menyemak adalah!
Mengingatkan lelaki itu, Dahlia melepaskan keluhan panjang. Sepanjang dua bulan dia bekerja di sini, adik Encik Zafiy merangkap anak bos itu tidak sudah-sudah menyakiti hati Dahlia. Ada saja yang tak kena di mata Encik Najman.
Padahal, Dahlia bukannya PA Encik Najman. Tetapi Encik Najman sengaja menyuruh Dahlia itu dan ini. Nak cari makan punya pasal, Dahlia ikhlaskan hati untuk buat semua kerja yang diarahkan.
Baik tak hati Dahlia? Baik, kan?
Lagipun, tak salah buat semua itu. Dahlia buat kerja halal untuk rezeki yang halal juga. Reda dan ikhlaskan hati untuk buat semua tu. Sekurang-kurangnya gaji kat sini boleh menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.
Encik Zaf pula…
Mengingatkan Encik Zaf, Dahlia mengukirkan senyuman lebar. Bos Dahlia ini terlalu baik orangnya. Tidak pernah sekali pun bosnya meninggikan suara kepada Dahlia atau mana-mana staf. Kalau Encik Zaf marah pun, langsung tak nampak macam marah. Cool saja riak wajah dia.
Kak Min… semua yang Kak Min cerita tentang Encik Zaf semuanya betul. Dia baik sangat, Kak Min. Untung Dahlia dapat bos macam Encik Zaf, kan?
Pon!!
Terperanjat Dahlia apabila tiba-tiba sahaja ada bunyi hon yang kuat dan panjang dari arah belakang. Laju kepalanya menoleh ke arah pemandu kereta yang berani membunyikan hon di hadapan bangunan pejabat mereka.
Erk? Dia?!
Patutlah berani buat sesuka hati? Rupa-rupanya anak bos yang buat bising pagi-pagi macam ni!
Dahlia melemparkan jelingan tajam. Kenapalah anak bos yang seorang lagi ni suka sangat cari pasal dengan Dahlia? Pagi-pagi hari pula! Memang sengaja memusnahkan mood baik Dahlia, kan?
Pemilik kereta itu memberhentikan kereta di sebelah Dahlia. Dengan wajah selamba, dia menurunkan cermin tingkap. “Kau ni buta ke? Berjalan pakai matalah! Yang kau berjalan pandang handphone tu, kenapa?”
Kali ini Dahlia memusingkan tubuh lalu memandang seraut wajah itu sambil bibirnya diketap geram. “Saya yang jalan pandang handphone, atau awak yang memandu tak tengok jalan? Bukan main luas lagi jalan ni! Yang awak menyibuk lalu tempat sempit macam ni, kenapa?”
“Eh, suka hati akulah! Kau kenapa lambat ni? Bukan ke kau awal-awal lagi dah pasang angan nak dapat anugerah pekerja cemerlang dalam syarikat ayah aku ni?”
“Menyibuk!” Dahlia malas mahu bertekak. Lagipun dia perlu mengejar masa. Tidak mahu masa meninggalkan dia dengan perbualan yang tidak berfaedah macam ni. Menyakitkan hati adalah!
Najman sengih. Kali ini kereta digerakkan perlahan, seiring dengan langkah Dahlia yang macam lipas kudung. Laju betul!
“Kau bangun lambat ke tadi, Dahlia? Jangan-jangan kau tak bangun sembahyang Subuh?” tanya Najman dengan riak tidak bersalah.
Sedaya-upaya Dahlia cuba menahan gelodak amarah yang membukam di dalam dada. Apa kena dengan mamat ni? Aku bangun lambat ke, tak solat ke, kenapa dia nak menyibuk sangat?
Tidak menjawab pertanyaan lelaki itu, Dahlia terus mengorak langkah ke arah pagar utama. Terkedek-kedek dia berlari anak menuju ke lobi utama.
Sebaik sahaja ibu jari berjaya ditekankan ke finger print punch card, Dahlia mengukirkan senyuman. Fuh, selamat! Pukul lapan satu minit. Belum merah lagi. Kalau dah lima minit baru merah.
Selang beberapa minit, kelibat seorang lelaki tiba-tiba muncul di belakangnya. Dahlia menjeling sekilas lalu. Mamat ni lagi?
Keluhan kecil meniti ulas bibirnya. Dahlia mempercepatkan langkah walaupun dia tahu lelaki itu sedang cuba menyaingi langkahnya.
“Kau lambat hari ni. Balik nanti kau kena balik lambat.” Nada suara Najman kedengaran termengah-mengah. Mungkin kerana mengejar masa juga.
Dahlia mencebik sambil menjungkitkan bahunya. “Seminit saja. Tak merah lagi.” Kakinya mengatur langkah ke arah lif. Dah penat berjalan kejar masa tadi. Malaslah nak naik tangga.
Ketika berdiri menanti pintu lif terbuka, kelibat seorang lelaki muncul di sisinya. Namun, Dahlia cuma buat-buat tak tahu. Padahal, dari ekor matanya dia dapat melihat pandangan anak mata lelaki itu jatuh ke mana.
Haih, kenapalah dia suka sangat pandang-pandang macam tu? Dia tak tahu ke? Pandangan mata dia yang macam tu boleh buat jantung Dahlia berdebar deras? Karang pecah dada Dahlia ni siapa nak jawab?
“Kau bawa bekal apa hari ni?” tanya Najman, memecahkan kesunyian di antara mereka berdua.
Ini satu lagi halnya dengan adik Encik Zaf ni. Encik Najman asyik sibuk mengutuk bekal yang dibawanya setiap hari untuk sarapan dan makan tengah hari. Yang Dahlia pelik, pantry kat bawah tu ada, kan? Kenapa pula Encik Najman sibuk nak sarapan dekat pantry pejabatnya? Sengaja nak cari pasal dengan Dahlia ke?
“Roti,” jawab Dahlia malas.
“Roti saja? Untuk tengah hari nanti?”
“Lauk kampung.”
Walaupun sudah tahu dengan jawapan Dahlia, Encik Najman tetap akan bertanya. Kadang-kadang Dahlia rasa macam malas mahu menjawab. Tetapi selagi Dahlia tidak menjawab, selagi itulah lelaki itu akan bertanya.
Najman diam sejenak. Setiap kali Dahlia menyebut lauk kampung, setiap kali itulah Najman akan meneguk liur. Dia sukakan lauk kampung. Kalau boleh, hari-hari Najman nak makan lauk kampung.
Tapi sayang, ahli keluarga mereka tidak sukakan lauk kampung. Termasuklah Abang Zaf juga. Sebab itulah Mak Cik Jamilah tidak pernah memasak lauk kampung di rumah mereka. Kalau mengidam sangat pun, Najman rela singgah makan di rumah Mak Cik Jamilah jika Mak Cik Jamilah memasak lauk kampung.
“Awak masak?” tanya Najman lagi.
“Taklah. Kakak saya yang tolong masak.”
“Sambal belacan ada tak?”
“Mestilah ada.”
Sekali lagi Najman menelan liur. Dia seperti boleh membayangkan kelazatan lauk kampung seperti yang selalu Dahlia bawa. Nak minta malu. Sudahnya, telan liur sajalah setiap kali bau sambal belacan tu.
Selang beberapa minit, pintu lif terbuka di hadapan mata. Berpusu-pusu masing-masing berebut untuk masuk ke dalam lif. Maklumlah, dah lebih pukul lapan. Semua orang mengejar masa.
Dahlia tertolak rapat ke hujung dinding. Eh, tadi tak ramai pun orang yang menunggu untuk masuk ke lif sama? Tetiba ramai pula? Hesy, ini yang tak suka sangat naik lif waktu macam ni! Sekejap lagi mesti terhimpit!
Hidung Dahlia mula kembang kempis. Macam-macam bau minyak wangi. Haih, agaknya habis satu botol satu hari disembur!
Dahlia sempat menarik handbag miliknya lalu diletakkan di depan perut. Tak adalah nak tergesel sana sini.
Eh, tapi… mana Encik Najman? Dia tak masuk sekali ke tadi?
Melihat sekujur tubuh tegap di hadapannya, Dahlia mendongakkan kepala. Tubuh yang membelakanginya itu dipandang lama. Encik Najman? Apasal dia naik lif ni juga? Lif untuk VIP ada kat sebelah, kan?
Dalam diam Dahlia mengukirkan senyuman kecil. Tengok Encik Najman tu! Dia saja menyusahkan diri sendiri untuk naik lif yang sama, kan? Kadang-kadang hati Dahlia tercuit juga dengan sikap Encik Najman yang begini.
Hampir terhembuk ketawanya apabila melihat Encik Najman sedang menutup separuh mukanya dengan menggunakan satu sapu tangan. Mungkin tidak mahu dikenali oleh mana-mana staf. Haih, kenapalah dia ni suka sangat cari pasal?
“Awak…” panggil Dahlia perlahan. Nak sebut nama atau panggilan ‘encik’ takut orang lain perasan. Sudahlah lif ini dipenuhi dengan staf. Ada juga dari bahagian yang sama.
Najman mengerutkan dahi. “Awak kat belakang saya ke Dahlia?”
“Ya. Tapi kenapa awak naik lif ni juga?” bisik Dahlia dengan nada paling perlahan. Cukup untuk didengari oleh sepasang telinga lelaki di hadapannya sahaja.
Pertanyaannya tidak dijawab. Anak mata Dahlia sempat terpandangkan anak mata Encik Najman yang sedang mencuri pandang ke arahnya melalui cermin besar di sisi kiri dan kanan lif.
Apabila lif berhenti di tingkat satu, beberapa orang staf mula mengatur langkah untuk keluar. Lega sikit! Tak adalah padat macam tadi. Ek eleh, tingkat satu pun nak naik lif ke?
Najman mengesot ke belakang sedikit. Berdiri di sebelah Dahlia dengan tangan masih menutup muka.
“Dahlia…” panggilnya perlahan.
Hmm?” tanya Dahlia sepatah. Dalam diam Dahlia mencebik kecil. Boleh pula bercakap baik-baik. Kalau tak, macam anak singa! Hesy, nasib kaulah Dahlia! Nak sangat kerja kat sini, kan?
“Kenapa awak pakai tudung ni hari ni?”
Dahlia mengerutkan dahi sekejap. Anak matanya sempat singgah ke tudung berwarna merah jambu yang tersarung di kepala. Kenapa pula dengan tudung ni? Dan apa pula kaitannya?
Sempat anak mata Dahlia menjeling ke sebelahnya sebelum menyoal, “kenapa? Apa yang tak kena dengan tudung ni?”
“Ya, memang ada yang tak kena. Tolonglah lepas ni jangan pakai tudung warna macam ni. Macam mak cik yang jual nasi lemak kat depan bangunan pejabat ni. Lepas tu belit sana, belit sini. Ingat cantik ke?”
Dahlia mengetap bibir sambil mengecilkan anak matanya ke arah lelaki di sisinya. Tak guna! Boleh dia cakap aku ni macam mak cik-mak cik? Ini tudung Cattleya, tau? Memanglah tak mahal macam jenama tudung yang popular. Tapi tudung ni labuh! Boleh tutup mana yang patut ditutup.
“Apasal pandang-pandang?” tanya Najman tanpa rasa bersalah.
“Habis tu, awak ingat awak tu handsome sangatlah? Rambut terpacak-pacak. Berlagak macam artis Korea-lah sangat, kan? Lagi satu, necktie ni mana secocok dengan baju. Dah macam warna pelangi. Macam tu handsome?” Dahlia membuat mimik muka nak termuntah. Sempat anak matanya menjeling ke arah angka yang bergerak-gerak pada dinding lif. Sabar Dahlia! Sikit lagi!
Najman turut mengecilkan anak matanya sebelum memusingkan tubuh ke sisinya.
“Eh, dah tingkat lima. Tak nak turun ke?” tanya Dahlia perlahan. Sejujurnya, ada rasa berdebar di dalam dada apabila lelaki itu merenung wajahnya begitu. Sudahlah berdiri dekat-dekat macam ni! Naik meremang bulu roma Dahlia!
“Tak nak!” jawab Najman sambil menapak setapak ke hadapan supaya berdiri lebih dekat dengan Dahlia.
Dahlia meneguk liur perlahan. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja muncul perasaan takut terhadap lelaki di hadapannya ini. Zaman sekarang ni macam-macam boleh jadi. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
Melihat pintu lif seperti sudah ingin tertutup, cepat-cepat Dahlia menapak ke hadapan lalu meloloskan diri dari perut lif. Tingkat lima pun tak mengapalah. Asalkan tak perlu lagi menghadap kerenah orang gila macam Encik Najman ni. Dahlia lebih rela naik tangga. Satu tinggat saja lagi.
Najman pula sekadar memerhati tingkah laku Dahlia. Tidak berniat langsung untuk mengekor langkah gadis itu kerana dia memang berniat mahu berjumpa dengan abangnya di tingkat enam.
Di tingkat lima, Dahlia berkira-kira sama ada ingin naik terus ke tingkat enam ataupun lepak di meja Fatin dulu.
Kalau naik terus, sah-sah terserempak lagi dengan mamat tak betul tu. Baik jumpa Fatin sekejap. Boleh bincang terus pasal projek semalam. Nafas dihelakan panjang sebelum menapak masuk ke pintu pejabat.



LIMA belas minit berlalu, Dahlia mengambil keputusan untuk naik semula ke pejabatnya. Minta-mintalah ‘mamat senget’ tu dah tak ada kat atas.
 Dahlia mengatur langkah keluar dari pintu pejabat itu. Masih berkira-kira sama ada nak naik lif atau panjat tangga sahaja. Memanglah satu tingkat saja lagi. Tapi malaslah nak panjat tangga.
Nasiblah! Kalau pintu lif terbuka, Dahlia akan naik lif. Kalau tak, panjat tangga sajalah.
Baru sahaja kakinya ingin dilangkahkan ke arah anak tangga, bunyi pintu lif terbuka. Dahlia kembali menoleh ke arah lif. Selang beberapa saat, kelibat seorang lelaki keluar dari pintu lif yang bersebelahan.
Terkebil-kebil anak mata Dahlia memandang seraut wajah lelaki yang sedang menapak keluar dari perut lif. Siapa lagi kalau bukan ‘mamat senget’ yang selalu tidak berpuas hati dengan Dahlia.
Eh, tak boleh jadi ni! Cepat panjat tangga Dahlia! Laju langkah kakinya diatur. Sudahlah Dahlia pakai baju kurung hari ini. Kalau tersadung macam mana?
“Dahlia! Bukan main lagi kau lari, kan? Aku jumpa kau nanti, jagalah!”
Suara itu semakin menambahkan debar di dalam dada Dahlia. Tidak mempedulikan kata-kata Encik Najman, Dahlia terus mendaki anak tangga. Malaslah nak melayan kerenah dia yang entah apa-apa tu!
Najman cuma memandang langkah itu sambil mengukirkan senyuman kecil. Sebenarnya dia sengaja mengusik Dahlia. Suka benar apabila dapat melihat wajah kelam-kabut gadis itu.
Dahlia terus melabuhkan duduk di meja kerjanya lalu mengurut dada perlahan. Biasanya kalau naik tangga pun tak adalah penat sampai macam ni. Tapi disebabkan berlari tadi, rasa penat pula. Gila betullah!
Sambil melepaskan nafas lelah, sambil itu anak mata Dahlia memandang seraut wajah yang menyejukkan hati di dalam bilik bercerminkan kaca lutsinar.
Dahlia mengukirkan senyuman kecil. Ya, memang sejuk mata memandang. Hilang segala resah gelisah apabila memandang wajah tenang Encik Zaf.
Handsome lagi Encik Zaf kalau nak dibandingkan dengan Encik Najman tu. Tapi satu saja yang Encik Zaf kalah. Senyuman Encik Najman!
Fuh, senyuman ‘mamat senget’ tu terlebih ‘sweet’. Sekali pandang nampak menggoda sangat. Boleh cair setiap mata yang memandang. Patutlah ramai sangat staf perempuan yang sukakan dua beradik ini.
Tetapi dua beradik ini ada persamaan mereka yang jelas ketara. Lesung pipit yang dalam di kedua-dua belah pipi mereka. Lagi satu, dua beradik ni tak suka melayan mana-mana perempuan yang sibuk menggedik. Bagus juga macam tu!
Emir memangdang tingkah Dahlia sambil mengerutkan dahi. Niat di hati untuk naik ke bilik mesyuarat. Namun, ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Langkah kakinya berhenti di hadapan meja Kak Syima.
Kak Syima mengangkat wajah. Berkerut dahinya memandang bosnya. Terhendap-hendap! Encik Emir ni mengendap siapa?
“Kenapa Encik Emir?” tanya Kak Syima perlahan.
“Akak… cuba tengok Dahlia tu. Apasal dia tersengih-sengih sambil pandang ke bilik Encik Zaf?”
Kak Syima mengalihkan pandangan matanya ke arah meja Dahlia. Gadis itu sedang tersenyum sambil memandang ke arah bilik Encik Zaf.
Amboi, Dahlia? Dah terjatuh cinta tanpa sengaja ke?
Hesy, Encik Emir ni! Dahlia bukan pandang Encik Zaf, lah. Dahlia pandang benda lain.” Sengaja Kak Syima mengalihkan perasaan curiga bosnya.
“Tapi saya rasa…”
“Encik Emir…” Kak Syima terus menyampuk. Kalau dibiarkan ni, macam-macam pula telahan bosnya.
“Biarlah. Kalau Dahlia jatuh cinta dekat Encik Zaf pun tak apa. Lagipun Encik Zaf tu dah lama hidup membujang. Lagi beberapa bulan, umur Encik Zaf bakal mencecah 33 tahun. Kalau ada jodoh dengan Dahlia pun bagus juga.” Kak Syima sudah mula tersengih-sengih. Sempat lagi membayangkan Dahlia dan Encik Zaf bersanding di atas pelamin.
Emir mengerutkan dahi. Yang umur Encik Zaf tu betul. Tapi betul ke mereka sama-sama suka? Jangan-jangan Dahlia yang perasan sorang-sorang?
“Lagipun Encik Emir, akak nampak Dahlia tu baik. Berbezalah dengan perempuan-perempuan yang suka menyendeng dekat Encik Zaf dan Encik Najman. Memang dia layak sangat untuk jadi PA Encik Zaf. Untuk jadi calon isteri, lagilah akak rasa Dahlia layak.”
“Kalau sama-sama suka tak apa, kak. Saya cuma bimbang ada salah seorang yang bertepuk sebelah tangan. Tak ke kecewa namanya nanti?”
Kak Syima mengangguk perlahan. Bersetuju juga dengan kata-kata bosnya. “Betullah tu, Encik Emir. Yang pasti sekarang, kita perlu lihat sahaja. Jika mereka memang berjodoh, maka Allah akan gerakkan hati mereka. Jika tidak, maka tak ada jodoh namanya.”
Emir turut menganggukkan kepala. Dalam diam, dia turut mendoakan semoga Dahlia dan Encik Zaf berjodoh. Encik Zaf… Emir doakan semoga pintu hati Encik Zaf akan terbuka untuk menerima seorang perempuan yang baik seperti Dahlia.
Tapi Najman pula…

Apakah Najman juga mempunyai perasaan terhadap Dahlia?

#UnedditedVersion

No comments:

Post a Comment